Sukar raih pelanggan baharu, CGS-CIMB jangka kerugian ATA IMS akan terus melebar pada FY23-FY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sukar raih pelanggan baharu, CGS-CIMB jangka kerugian ATA IMS akan terus melebar pada FY23-FY24

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Jun - CGS-CIMB Research menjangkakan kerugian ATA IMS Bhd. akan terus meningkat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) dan FY24 masing-masing sebanyak 11% dan 72%. 

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Nagulan Ravi berkata, jangkaan itu mengambil kira aliran tempahan yang lebih lemah daripada pelanggan baharu di Amerika Syarikat (AS) dan kelemahan margin operasi disebabkan kadar penggunaan semakin berkurangan.

 

Ini menyaksikan harga sasarannya dikurangkan kepada 25 sen sesaham berbanding 36.2 sen sesaham sebelum ini dengan penarafan 'kurang' dikekalkan berikutan prospek hasil yang tidak menentu.

 

"Kami hanya akan kembali yakin terhadap prospek pendapatan ATA IMS sebaik sahaja ia meraih pelanggan baharu atau menunjukkan tanda-tanda yang lebih jelas bagi langkah penjimatan kos mula membuahkan hasil," katanya.

 

ATA kini melaksanakan langkah penjimatan dan pengurangan kos dan sedang menjual semula lebihan stok kepada pelanggan utamanya.

 

Kumpulan menjangkakan inventori berkaitan kepada pelanggan utama dapat diselesaikan dalam tempoh 1 hingga 2 bulan akan datang (Jun-Julai 2022).

 

Pada 11 April lalu, ATA mengumumkan bahawa audit bebas yang dijalankan oleh juruaudit pihak ketiga membuat kesimpulan bahawa kumpulan mematuhi piawaian buruh tempatan dan antarabangsa.

 

Nagulan berkata, ia sedikit sebanyak memberikan ATA peluang yang lebih baik untuk mendapatkan pelanggan atau projek baharu.

 

"Tetapi, pada masa sama, kami masih bimbang dengan kekurangan butiran penemuan audit, juruaudit dan garis masa perkongsian butiran setakat ini," tambahnya.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, ATA merekodkan kerugian bersih sebanyak RM29.22 juta bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2022, berbanding keuntungan bersih RM26.94 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya ekoran penamatan kontrak oleh Dyson. 

 

Ini turut menyebabkan hasil merosot 55.47% kepada RM431.06 juta daripada RM967.98 juta kerana penamatan kontrak oleh pelanggan utama mengakibatkan penggunaan kapasiti pengeluaran yang kurang dan rosot nilai aset.

 

Bagi tahun kewangan penuh FY22, kumpulan melaporkan kerugian bersih sebanyak RM11.48 juta berbanding keuntungan bersih sebanyak RM150.3 juta bagi tempoh sama FY21 manakala hasil susut 38.36% kepada RM2.6 bilion daripada RM4.2 bilion.

 

Menurut Nagulan, ATA mengalami margin operasi yang negatif buat kali pertama pada suku keempat itu disebabkan kadar pengeluaran yang tidak optimum berikutan kehilangan pelanggan utamanya.

 

Setakat 3.18 petang ini, harga saham ATA susut 1 sen atau 3.03% kepada 32 sen dengan 11.92 juta saham diniagakan. - DagangNews.com