Situasi semasa COVID-19 sukarkan MRCB 'bernafas' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Situasi semasa COVID-19 sukarkan MRCB 'bernafas'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Situasi semasa pandemik COVID-19 dilihat akan terus mempengaruhi prospek Malaysian Resources Corp Bhd. (MRCB) pada separuh kedua ini.

 

Malah, prestasi kewangan kumpulan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 juga kurang memuaskan meskipun kerugian bersihnya mengecil kepada RM32.42 juta berbanding RM220.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, perolehan kumpulan meningkat 35% kepada RM225.75 juta daripada RM167.18 juta tahun lalu.

 

Penganalisis MIDF Research, Ummar Fitri menjangkakan prospek hasil dan perolehan kumpulan dilihat suram dalam tempoh terdekat berikutan aktiviti perniagaan dan pembinaan yang dibuka semula berjalan dengan perlahan. 

 

Di samping itu, katanya, kapasiti tenaga kerja juga terhad di tapak projek dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada suku ini dan akan datang. 

 

"Situasi ini boleh menjejaskan prospek pendapatan dalam tempoh jangka pendek dan sederhana memandangkan bayaran kemajuan projek pembinaan akan terkesan disebabkan perkembangan projek yang lambat.
 

"Walaupun kami menjangkakan kemajuan projek akan bergerak lebih cepat memasuki tahun kewangan 2021, tetapi ia masih bergantung kepada sejauh mana situasi pandemik COVID-19 pada masa akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' ke atas saham MRCB dengan harga sasaran disemak kepada 42 sen berbanding 46 sen sebelum itu. 

 

Ia juga menyemak semula anggaran utama kepada RM1.02 bilion dan RM1.25 bilion masing-masing bagi tahun kewangan 2021 dan 2022. Unjuran pendapatan turut disemak semula kepada RM17.69 juta dan RM51.04 juta.

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely berkata, kumpulan menggambarkan akan berdepan tempoh mencabar pada suku ketiga meskipun kerugian bagi segmen pembinaan semakin mengecil bagi suku ke suku. 

 

Malah, katanya, sasaran jualan hartanah bagi tahun kewangan 2021 sebanyak RM700 juta juga sukar dicapai dengan hanya RM107.4 juta jualan hartanah direkodkan pada separuh pertama tahun ini. 

 

"Bagaimanapun, keseluruhan prospek separuh kedua ini walaupun mencabar tetapi sepatutnya disokong oleh pemulihan sektor dan juga pembentangan Rancangan Malaysia ke-12," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham MRCB dengan harga sasaran dikurangkan kepada 40 sen. 

 

Unjuran pendapatan sesaham (EPS) juga dikurangkan 41 hingga 74% yang mencerminkan kerugian segmen pembinaan pada tahun kewangan 2021, bayaran projek yang lemah bagi pembangunan hartanah dan keseluruhan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang rendah. - DagangNews.com