KUALA LUMPUR 5 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengulangi pandangan 'underweight' terhadap sektor sarung tangan memandangkan situasi lebihan bekalan tidak mungkin berakhir dalam masa terdekat dengan persaingan dijangka kekal sengit pada separuh pertama 2023.
Penganalisisnya, Sophie Chua Siu Li berkata, pembeli sarung tangan masih tidak bersedia untuk membuat pesanan yang besar, kerana mereka terus menggunakan inventori sedia ada.
Malah, katanya, lonjakan kes COVID-19 di China baru-baru ini juga dijangka tidak memberi manfaat kepada pemain Malaysia, kerana pengguna akhir China berkemungkinan menjadi sumber bekalan di negaranya.
"Dari segi bekalan, pengeluar telah menyemak semula pelan pengembangan masing-masing untuk mengurangkan lebihan bekalan dalam pasaran.
"Ditambah dengan pemain baharu yang keluar daripada pasaran, kami percaya ini akan terus mengurangkan tekanan pada bahagian penawaran.
"Bagaimanapun, dengan ketiadaan pengambilan yang kukuh dalam pesanan, kami tidak fikir pengurangan bekalan sahaja sudah memadai untuk menyelesaikan situasi lebihan bekalan dan masalah itu berpotensi berlanjutan hingga 2024," katanya dalam nota kajian hari ini.
Harga jualan purata (ASP) sarung tangan mengalami penurunan sejak pertengahan 2021 yang menyebabkan prestasi buruh dalam kalangan syarikat pengeluar.
Ketika ini, ASP sarung tangan nitril berlegar sekitar AS$18 hingga AS$20 per 1,000 keping dan ia mungkin semakin lemah beberapa bulan akan datang, kerana persaingan dalam pasaran masih kekal sengit.
Ini terbukti dengan percubaan salah satu pembuat sarung tangan baru-baru ini untuk meningkatkan sedikit ASP, tetapi mengakibatkan penurunan yang besar dalam jumlah jualan - menandakan tentangan daripada pembeli memandangkan mereka masih sensitif kepada harga buat masa ini.
Siu Li menjangkakan kadar penggunaan industri akan berlegar sekitar 40 hingga 50% pada separuh pertama 2023 (peningkatan sederhana daripada 30 hingga 50% ketika ini).
Namun, katanya, kadar penggunaan dijangka lemah dalam beberapa suku akan datang, memandangkan volum yang dipertingkatkan mungkin akan dilakukan dengan mengorbankan ASP.
"Apatah lagi mekanisme tambahan kos yang diguna pakai sebelum ini juga tidak lagi berdaya maju di bawah situasi pasaran semasa kerana pengeluar kini menjadi pengambil harga, dan ketidakupayaan mengeluarkan kos yang lebih tinggi (iaitu kos buruh, kos gas asli) akan terus menjejaskan keuntungan," jelasnya.
Menurut beliau, kedudukan tunai yang kukuh ketika kitaran menaik adalah penting bagi membantu syarikat pengeluar sarung tangan mengharungi ketidaktentuan dalam tempoh jangka pendek.
Kaunter sarung tangan di bawah liputan HLIB berada pada kedudukan tunai bersih yang selesa sebanyak RM360 juta hingga RM1.89 bilion, membentuk sebanyak 5.1%/32.3%/69.9% permodalan pasaran masing-masing daripada Top Glove Corp Bhd., Hartalega Holdings Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd.
"Menangguhkan rancangan pengembangan kapasiti juga akan membantu pemain sarung tangan untuk menjimatkan lebih banyak wang tunai buat masa ini," katanya.
Secara keseluruhan, firma itu masih mengekalkan saranan 'jual' terhadap Top Glove dan Hartalega manakala 'pegang' bagi Kossan. - DagangNews.com








