Siti Khadijah tawar diskaun hingga 50% sempena jualan masuk gudang mulai 5 hingga 8 Ogos ini | DagangNews Skip to main content

Siti Khadijah tawar diskaun hingga 50% sempena jualan masuk gudang mulai 5 hingga 8 Ogos ini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Siti Khadijah akan mengadakan 'Jualan Masuk Gudang' pada 5 hingga 8 Ogos 2023 bertempat di Laman Khadijah, Nilai, Negeri Sembilan.

 

Jenama telekung tempatan itu berkata, pelbagai jenis telekung akan dijual serendah RM98 dan potongan sehingga 50% diskaun untuk telekung premium. 

 

Katanya, tawaran itu sempena pembukaan fasiliti baharunya, Laman Khadijah di Nilai Impian yang berkeluasan 60,000 kaki persegi.

 

"Ia sekali gus mampu menampung kapasiti pekerja seramai 500 orang berbanding fasiliti sebelum ini dengan keluasan 17,480 kaki persegi. 

 

"Laman Khadijah juga memuatkan fasiliti pembuatan serta gudang selain daripada pejabat korporat, pemasaran dan jualan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kakitangan sokongan serta galeri pelawat," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Berkongsi mengenai sejarah penubuhannya, figura di sebalik kejayaan Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman mengambil peluang sebaik melihat kelompongan penawaran telekung selesa terutamanya pada bahagian muka.

 

Berbekalkan kemahiran menjahit, Padzilah nekad untuk menyelesaikan masalah pengguna. Pada 2009, Siti Khadijah, nama yang terinspirasi daripada figura perniagaan di zaman Nabi Muhammad SAW, mula beroperasi.

 

 

sk

 

 

Bergandingan dengan suaminya, Aminuddin Mohd Nasir, Padzilah mengembangkan jenama Siti Khadijah bermula dari Wisma Zelan, Cheras, dan meraih kejayaan demi kejayaan seperti Anugerah Usahawan Gempak SIDEC, Anugerah Usahawan MARA (Anugerah Jenama Terbaik) dan juga Putra Brand Award. 

 

Perjalanan Padzilah mengharungi liku-liku perniagaan menyuntik inspirasi kepada semua terutamanya wanita, dalam melangkaui had keupayaan diri.

 

 

sk

 

 

Kini, Siti Khadijah mempunyai 49 butik di Malaysia, tiga butik di Indonesia dan sebuah butik di Singapura. Siti Khadijah menawarkan bukan sahaja telekung, malah variasi produk gaya hidup seharian yang lain seperti pakaian lelaki dan wanita, hijab, sejadah, beg, aksesori dan sebagainya.

 

Semua dijemput hadir dengan menempah slot dalam talian bagi mengelakkan kesesakan melalui pautan https://jmg.sitikhadijah.com/session. - DagangNews.com