Siri Maxis Business Spark Engage 2023 terus beri tumpuan kepada transformasi digital   | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siri Maxis Business Spark Engage 2023 terus beri tumpuan kepada transformasi digital  

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac - Maxis menganjurkan siri ke-4 forum Maxis Business Spark Engage 2023 untuk membolehkan perusahaan mendapat kelebihan dalam lanskap digital yang pantas serta tidak menentu.

 

Syarikat telekomunikasi itu mengetuai sesi panel menerokai topik 'Formula Kemenangan untuk Membina Kelebihan dalam Ketidaktentuan', menampilkan ahli-ahli panel seperti Ketua Segmen Korporat dan PKS Maxis, Kevin Lee; Ketua Pegawai Keselamatan Lapangan Asia Pasifik Palo Alto Security, Ian Lim dan Naib Presiden Operasi Holiday Tours, Lawrence Annies.

 

Forum itu membincangkan komponen utama yang diperlukan untuk mencapai kelebihan, termasuk mempercepatkan penggunaan teknologi, mengautomasikan tugas manual, melindungi aset digital dan faedah bekerjasama dengan penyedia penyelesaian IT yang sesuai.

 

Perbincangan tumpuan tahun ini menampilkan tetamu khas yang merupakan pemenang Grand Prix sebanyak 13 kali, iaitu David Coulthard, yang berkongsi pandangannya dengan wartawan serta pengarang Formula 1 (F1) terkenal, Lee McKenzie mengenai bagaimana teknologi telah mengubah dunia perlumbaan F1. 

 

Berhubung dengan persekitaran perniagaan yang sangat kompetitif, Coulthard menekankan kepentingan kepercayaan, kerja berpasukan dan semangat dalam menggunakan data masa nyata untuk memastikan ketepatan dan hasil yang optimum, serta amalan terbaik yang boleh digunakan untuk mana-mana perniagaan.

 

Kevin berkata, transformasi digital adalah perjalanan yang berterusan dan sentiasa ada sesuatu yang baharu untuk ditemui dalam persekitaran yang dipacu teknologi ini. 

 

"Inilah sebab siri Maxis Business Spark telah berkembang menjadi platform penting yang memberi peluang kepada perniagaan daripada pelbagai saiz untuk menyelami isu-isu penting yang boleh ditangani secara kolektif, membincangkan penyelesaian serta mendapat manfaat daripada pengetahuan dan pengalaman yang mendalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

maxis
David Coulthard (kiri) dijemput sebagai tetamu khas pada forum Maxis Business Spark Engage 2023.

 

 

Ini merupakan tahun keempat Maxis menganjurkan siri Maxis Business Spark, iaitu sebuah platform untuk membincangkan cabaran dan berkongsi pengetahuan mendalam dalam ekonomi digital. 

 

Forum tersebut terus menjadi peluang berharga bagi perniagaan untuk belajar daripada pakar industri, meluaskan rangkaian dan bekerjasama dengan rakan. 

 

 

maxis

 

 

Forum eksklusif tersebut menarik pelbagai pemimpin perniagaan terkemuka yang terdiri daripada ketua pegawai IT, pengarah, dan ketua jabatan IT yang mewakili PKS utama, syarikat besar dan organisasi kerajaan. - DagangNews.com