Sime Darby Property raih 97% kadar pembelian The Prestige Collection di Bandar Elmina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Property raih 97% kadar pembelian The Prestige Collection di Bandar Elmina

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Jun - Sime Darby Property Bhd meraih sebanyak 97% kadar pembelian sewaktu pelancaran 'The Prestige Collection' yang terletak di kawasan perindustrian pegangan bebas Elmina Business Park di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor.

 

The Prestige Collection merangkumi tujuh unit kilang sesebuah dan 24 unit kilang berkembar bersaiz besar. 

 

Kilang-kilang siap dibina itu menampilkan reka bentuk moden dan praktikal seperti kawasan gudang yang luas serta ruang pejabat, ruang menyambut tetamu dan galeri bagi menjalankan operasi harian perniagaan.

 

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, pihaknya berbesar hati projek tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada para usahawan perindustrian, sekali gus membuktikan syarikat mampu memenuhi keperluan dan jangkaan pasaran bagi sektor itu.

 

Katanya, pencapaian itu juga menunjukkan bahawa komuniti perniagaan aktif mencari dan melabur dalam produk-produk perindustrian efisien. 

 

"Menerusi produk kami seperti The Prestige Collection, kami juga menggandakan nilai untuk perniagaan dan seterusnya menggalakkan inovasi dan mempromosikan sektor perdagangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kilang-kilang berkembar 120’ x 200’ itu mempunyai keluasan binaan di antara 13,800 hingga 14,800 kaki persegi, dengan harga permulaan daripada RM8,420,888. 

 

 

sime darby

 

 

Tambahan lagi, kilang-kilang berkembar yang bersebelahan boleh digabungkan untuk membina kawasan gudang sentral yang lebih luas.

 

Kilang-kilang sesebuah 120’ x 200’ pula mempunyai saiz binaan 12,000 kaki persegi dengan harga permulaan daripada RM8,539,888. 

 

Ia direka bentuk dengan laluan penuh sekeliling bangunan untuk kemudahan pergerakan kenderaan bagi operasi perniagaan yang lancar dan efektif.

 

 

sime darby

 

 

Reka bentuk The Prestige Collection menampilkan konsep perniagaan kotemporari dan elegan. Bahagian dalaman gudang yang luas mempertingkatkan lagi fleksibiliti dan susun atur logistisk, manakala panel bumbung skylight menjadikan operasi perniagaan lebih mesra alam. 

 

Di samping itu, kilang-kilang itu juga dilengkapi panel solar yang menjamin alternatif praktikal kepada pelepasan karbon, serta menggalakkan penggunaan dan pengeluaran tenaga lebih bersih. - DagangNews.com