Sime Darby catat untung RM389 juta pada suku kedua dipacu segmen perindustrian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby catat untung RM389 juta pada suku kedua dipacu segmen perindustrian

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Feb - Untung bersih Sime Darby Bhd. meningkat 12.8% pada suku kedua berakhir 31 Disember 2022 kepada RM389 juta daripada RM345 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan turut meningkat kepada RM11.29 bilion. 

 

Segmen perindustrian merupakan penyumbang utama bagi suku yang ditinjau, diterajui operasi Australasia yang memberikan keuntungan lebih tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, ia didorong terutamanya melalui pertumbuhan organik daripada segmen alat ganti di Australia, serta perniagaan enjin di Singapura.

 

Menurutnya, segmen permotoran turut merekodkan peningkatan jualan menerusi operasi di Malaysia, mengimbangi kesan pengurangan margin daripada perniagaan di China pada suku tersebut.

 

"Dengan pembukaan semula baru-baru ini dan normalisasi rantaian bekalan, kami berharap dapat melihat prestasi yang lebih baik untuk operasi runcit kereta kami di China.

 

"Negara ini kekal sebagai penjana pendapatan terbesar kumpulan, dan kami kekal yakin dengan prospek jangka panjang pasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Penyelesaian penjualan syarikat Weifang Port baru-baru ini, yang menyaksikan keuntungan RM147 juta dicatatkan pada suku ini, menandakan keluarnya kumpulan daripada perniagaan logistik.

 

Langkah itu membolehkan Sime Darby menumpukan sepenuhnya pada pertumbuhan dua perniagaan teras iaitu perindustrian dan motor di seluruh rantau Asia Pasifik.

 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 31 Disember 2022, untung bersihnya meningkat kepada RM596 juta daripada RM581 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM23.47 juta daripada RM21.13 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Menurut Jeffri Salim, pesanan yang dipenuhi ketika dalam tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menyokong operasi segmen permotoran Sime Darby di Malaysia untuk mengakhiri separuh pertama bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) dengan kukuh. 

 

Pelancaran model baharu di seluruh operasi serantau kumpulan dijangka membantu mengekalkan momentum jualan yang teguh dalam jangka masa terdekat.

 

“Permintaan untuk model kenderaan elektrik (EV) kami merentas pelbagai jenama adalah kukuh, menandakan kesediaan pasaran untuk mobiliti elektrik.

 

"BYD, jenama terbaharu kami ini, diterima baik di pasaran Malaysia, yang merupakan langkah positif ke arah matlamat Sime Darby untuk menjadi peneraju dalam EV," jelasnya.

 

Sementara itu bagi segmen perindustrian, beliau menjangkakan harga komoditi yang kukuh akan terus merangsang pelaburan dalam sektor sumber, memacu jualan alat ganti dan permintaan bagi penyelenggaraan.

 

Sime Darby mengumumkan dividen interim sebanyak 3 sen sesaham untuk separuh pertama FY23. - DagangNews.com