KUALA LUMPUR 27 Jun - Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) hari ini mengumumkan penerimaan dua Anugerah Presiden daripada Ford Direct Markets berikutan kecemerlangan syarikat tersebut dalam memastikan kepuasan pelanggan untuk jualan dan servis sepanjang tahun 2021.
Anugerah berprestij itu merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian SDAC sebagai salah satu organisasi pengedar jenama Ford terbaik di dunia.
Anugerah Presiden merupakan kecemerlangan terunggul dalam program Ganjaran dan Pengiktirafan tahunan Ford, yang diadakan untuk mengiktiraf rakan niaga pengedar yang menyediakan pengalaman pelanggan dan operasi yang cemerlang.
SDAC menerima dua Anugerah Presiden 2021 untuk kategori Jualan dan Servis berikutan skor tertinggi yang diperolehi bagi kedua-dua kategori, bersaing dengan pengedar-pengedar lain di serata rantau.
Skor itu adalah berdasarkan maklum balas yang dikumpul dari pelanggan dan tinjauan yang dijalankan oleh Ford di setiap pasaran, termasuk Malaysia.
Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair berkata, mereka berbangga menerima Anugerah Presiden pada tahun ini.
"Apabila memenangi Anugerah Pengerusi pada tahun 2019 dan 2020, kami terus menumpukan usaha untuk menginovasi dan mencari jalan untuk meningkatkan pengalaman dan kepuasan pelanggan. Kami sentiasa komited untuk memberi kecemerlangan servis bertaraf dunia kepada semua pelanggan Ford di Malaysia.

“Walaupun berdepan dengan berbagai cabaran, namun tahun 2021 merupakan tahun yang cukup berjaya untuk SDAC. Dedikasi, kecekalan dan kegigihan mereka telah menghasilkan berbagai pencapaian besar.
"Di antaranya adalah kejayaan Ford Ranger Getaways, contoh terbaik untuk sebuah program menyeluruh yang direka untuk menyediakan pelanggan terhadap satu pengalaman yang padat dan mendalam melangkaui sekadar jualan dan servis,” katanya dalam satu kenyataan.
Ford Ranger Getaways merupakan platform cabaran melibatkan komuniti yang menyatukan para pelanggan yang berkongsi citarasa dan minat untuk bersama-sama merasai pengalaman dan cabaran unik pemanduan dalam negara.
Pelanggan boleh memilih berbagai bentuk getaway, termasuk kursus off-road untuk menguji kemampuan sebenar kenderaan mereka, menjadi juruterbang untuk sehari, menikmati alam semulajadi atau sekadar bersantai bersama keluarga. - DagangNews.com








