Sime Darby akan terus ambil langkah jual tanah MVV - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Sime Darby akan terus ambil langkah jual tanah MVV - RHB Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Sept - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sime Darby Bhd. dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM2.75 berbanding RM2.55 sesaham sebelum ini susulan langkah berterusan kumpulan untuk menjana kewangan daripada aset bukan teras. 

 

Menurut firma itu, sejak Sime Darby memperoleh tanah Malaysian Vision Valley (MVV0 daripada Sime Darby Plantation Bhd. pada 2017 sebagai sebahagian daripada langkah pengasingan entiti, ia telah melaksanakan tiga penjualan tanah berkenaan.

 

"Kami juga difahamkan yang kumpulan masih berunding dengan beberapa pihak yang berminat untuk menjual baki tanah ini seluas 5,372 ekar," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Jumaat lalu, anak syarikat milik penuh Sime Darby, Kumpulan Sime Darby Bhd. (KSDB) melupuskan tanah seluas 519 hektar di MVV, Negeri Sembilan kepada NS Corporation pada harga RM445 juta.

 

Penjualan itu menjadi kesinambungan strategi Sime Darby bagi membuka nilai aset bukan terasnya menerusi langkah pelupusan.

 

Sebanyak 85% daripada hasil pelupusan akan digunakan untuk keperluan modal kerja termasuk pembayaran perbelanjaan operasi serta cukai, pembayaran balik pinjaman dan pembiayaan operasi kumpulan bagi mengelakkan pembiayaan.

 

Pelupusan itu akan selesai pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dijangka mencatatkan keuntungan bersih atas pelupusan sebanyak lebih kurang RM399 juta kepada kumpulan.

 

RHB Research berpendapat Sime Darby kemungkinan akan membuat pelaburan semula dalam segmen terasnya iaitu permotoran dan perindustrian dengan melaksanakan pengambilalihan aset yang berpotensi.

 

Katanya, pengagihan hasil 15% maksimum menunjukkan potensi dividen sesaham (DPS) sebanyak dua sen (FY23 DPS: 12 sen).

 

"Namun, kami tidak membuat sebarang perubahan selepas selesai transaksi tersebut, memandangkan keuntungan yang diperoleh adalah daripada aset bukan teras," jelasnya. 

 

Setakat 11.39 pagi ini, harga saham Sime Darby menokok 1 sen atau 0.46% kepada RM2.17 dengan 687,800 saham diniagakan. -DagangNews.com