KUALA LUMPUR 24 Jun - Melaka Trade Square (Metrasquare), sebuah hab komersial terletak di Ayer Keroh, Melaka menjadi destinasi popular bagi komersial, pekerjaan, hiburan dan kesenian dengan pembukaan tiga outlet baharu.
Kedai-kedai baharu yang bakal dibuka menjelang penghujung 2022 adalah Regus, ruang kerja fleksibel pertama di Melaka, pusat kesihatan SHENGLIFE Sdn Bhd dan Cahaya Suria Confinement Centre.
Salah satu tarikan Metrasquare adalah Galeri Budaya Cheng Ho di STI Experiantal Centre yang sebelum ini terlatak di Jonker Street.
Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing telah membuat lawatan ke galeri yang mempamerkan kehidupan Zheng He dan pelayarannya dua minggu lalu.
Selain itu, Straits Designers’ Gallery oleh Sheng Tai International kini berada di Metrasquare. Galeri itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk membentuk semula Melaka menjadi 'hab kreatif’ dan budaya masa depan melalui hartanahnya.
Berkeluasan 5,500 kaki persegi, Straits Designers’ Gallery mempamerkan lebih 60 koleksi ‘sedia dipakai’ terbaru, kasut, bag tangan dan aksesori pereka tempatan.
Outlet lain yang dibuka termasuklah Uncle' K' Kopitiam, 'Q' Bistro, OldTown White Coffee dan Assam House.
Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International Sdn Bhd, Datuk Leong Sir Ley berkata, mereka mengalu-alukan jenama-jenama terkenal ke Metrasquare yang berkualiti tinggi dan memiliki penyewa yang pelbagai.

"Penambahan baharu ini menggambarkan komitmen kami untuk mengukuhkan negeri Melaka daripada segi kedudukan ekonomi dengan menyediakan peluang pekerjaan selain menggalakkan keusahawanan tempatan.
"Di samping itu, ia adalah contoh bagaimana kejayaan pemulihan dan penyegaran semula projek pembangunan yang terbengkalai, menjadi penyumbang ekonomi menerusi daya komersial," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Metrasquare merupakan projek terbengkalai di bawah Plentifield Marketing, yang mana telah diambil alih oleh Sheng Tai International pada tahun 2017 bagi membangunkan semula Metrasquare. Bagaimanapun, pemaju sebelum ini hanya menyiapkan separuh dan meninggalkan projek itu.
Sheng Tai International mengambil alih dan menghidupkan semula projek tersebut, termasuk menyelesaikan semua hutang tertunggak dan skim Jaminan Pulangan Sewa (GRR) kepada pelabur awal sehingga menyusun semula strategi pelan induk Metrasquare.
Hari ini, Metrasquare merupakan pembangunan komersial seluas 2.42 hektar merangkumi komponen kediaman dinamakan Metrasquare Serviced Suites, kedai-kedai runcit, kemudahan mesyuarat dan persidangan, kemudahan F&B, galeri sejarah Melaka serta ruang seni sosial. Ia juga termasuk hotel lima bintang iaitu Hotel Ames yang dinilai cemerlang di platform pelancongan global.
Terletak hanya lima minit pemanduan dari tol Ayer Keroh dari Lebuh Raya Utara-Selatan, Metraquare juga hampir dengan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pejabat-pejabat kerajaan, pasar raya besar dan banyak tarikan pelancong seperti Zoo dan Safari Malam Melaka, Taman Burung Melaka, Taman Tema Wonderland, Melaka Planetarium dan Muzium Lebah Dunia. - DagangNews.com








