KUALA LUMPUR 26 Julai - SELGATE Healthcare Sdn Bhd mengumumkan pemeteraian perjanjian kerjasama perniagaan dengan GLOCO Malaysia Berhad untuk mempertingkatkan lagi kolaborasi e-Dagang perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan sistem pengurusan klinik di antara kedua-dua pihak untuk klinik-klinik panel Selcare.
Melalui kerjasama ini, SELGATE dan GLOCO akan memasarkan platform Rekod Perubatan Elektronik (EMR) GLOCO kepada lebih 2,000 panel klinik di bawah Selcare Management Sdn Bhd.
Ini juga akan membuka peluang yang baik kepada klinik-klinik panel Selcare dalam urusan pembelian ubat-ubatan dengan harga yang kompetitif melalui platform B2B.
SELGATE bercita-cita untuk menjadi salah sebuah pengendali penjagaan kesihatan swasta yang terkemuka di Malaysia dan berusaha untuk menyediakan penjagaan berkualiti yang mampu milik.
Perniagaan utama bagi GLOCO merupakan sistem pengurusan klinik, Rekod Perubatan Elektronik (EMR), perunding dan penyedia insurans dan kesihatan.
SELGATE dan GLOCO akan bekerjasama dalam integrasi produk dan/atau perkhidmatan mereka untuk projek yang dipersetujui bersama yang termaktub di dalam perjanjian.
Mewakili SELGATE Healthcare ialah Pengarah Eksekutifnya, Noor Hisham Mohd Ghouth dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Muaz Omar.
Sementara itu, pihak GLOCO diwaklili Pengarah Urusannya, Adam Chang dan Rakan Kongsi Kanan, Nicholas Lee.
Noor Hisham berkata, kerjasama dengan GLOCO dalam penglibatan projek B2B merupakan perkembangan menarik syarikat kerana ini dilihat sebagai sebuah langkah besar untuk meningkatkan kesedaran terhadap jenama mereka dalam industri penjagaan kesihatan bukan sahaja di Selangor, malah di peringkat nasional.
Dalam usaha untuk mencapai objektif ini, sebuah rangka kerja strategik akan diwujudkan yang mana kedua-dua pihak akan bersama-sama terlibat dalam perkara-perkara yang membawa kepentingan kepada industri untuk mengekalkan perniagaan yang kondusif bagi semua.
Kerjasama ini juga akan membawa kepada lanjutan perkhidmatan lain bersama GLOCO untuk anak-anak syarikat SELGATE yang lain pada masa hadapan. - DagangNews.com








