Sektor penerbangan akan kembali catat untung tahun ini, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor penerbangan akan kembali catat untung tahun ini, kata Maybank IB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Jan - Sektor penerbangan Malaysia dijangka merekodkan keuntungan pada 2023 apabila trafik penumpang terus pulih, dengan harga bahan api semakin berkurangan dan tambang penerbangan kekal tinggi, demikian menurut Maybank Investment Bank (IB).

 

Penganalisisnya, Yin Shao Yang berkata, selepas melalui tempoh tiga tahun yang mengerikan, keadaan dilihat semakin bertambah baik untuk industri penerbangan Malaysia.

 

Namun, menurutnya, cabaran utama bagi sektor penerbangan tahun ini ialah mengembalikan pesawat kepada perkhidmatan selepas terbiar semasa pandemik COVID-19.

 

Pada masa ini, terdapat tunggakan di pusat penyelenggaraan, pembaikan dan operasi di seluruh dunia disebabkan lonjakan permintaan untuk pesawat dikembalikan kepada perkhidmatan, ditambah pula dengan kekurangan buruh dan alat ganti.

 

"Selain itu, satu lagi pemangkin bagi sektor penerbangan Malaysia pada 2023 ialah pembukaan semula sempadan China yang boleh meningkatkan lagi momentum pemulihan.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan tidak banyak kemasukan pelancong China ke negara ini memandangkan negara itu masih bergelut dengan gelombang Omicron dan keperluan menjalani ujian PCR yang negatif sebelum pulang ke China. 

 

"Pada masa sama, perkhidmatan pesawat AirAsia Malaysia belum lagi kembali kepada perkhidmatan," katanya dalam nota kajian.

 

 

mahb

 

 

Pada tahun lalu, sektor penerbangan di Malaysia cuba untuk bertahan setelah terjejas dengan gelombang Delta dan kemudiannya gelombang Omicron yang turut diburukkan dengan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan lonjakan harga bahan api.

 

Ia dilihat seolah-olah tiada kesudahan bagi sektor penerbangan, tetapi memandangkan varian Omicron ternyata jauh lebih rendah daripada Delta, ringgit juga semakin pulih dan harga bahan api jet mereda dengan trafik penumpang pulih walaupun tambang penerbangan melonjak.

 

Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor penerbangan dengan saranan 'beli' terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Capital A Bhd. 

 

Namun, Shao Yang menyemak semula unjuran trafik penumpang yang dikendalikan MAHB kepada purata 78% daripada paras sebelum COVID-19 pada 2023, dengan trafik domestik pada 85% dan trafik antarabangsa pada 70% disebabkan perkhidmatan semula pesawat AirAsia yang lebih perlahan daripada jangkaan di Malaysia.

 

 

AirAsia

 

 

Sebelum itu, trafik MAHB diunjur pada purata 90% daripada paras sebelum COVID-19 pada 2023, dengan trafik penumpang domestik pulih sepenuhnya dan segmen antarabangsa mencecah 80% daripada paras sebelum pandemik.

 

"Dalam jangka panjang, kami menjangkakan trafik penumpang domestik akan terus dipacu bukan sahaja dengan sekembalinya perkhidmatan pesawat AirAsia Malaysia tetapi juga pengembangan perkhidmatan oleh MYAirline.

 

"Oleh itu, kami percaya MAHB akan mencapai pulang modal pada suku keempat 2022," jelasnya.

 

Bagi syarikat penerbangan tambang rendah Capital A Bhd, yang mengendalikan AirAsia, beliau menjangkakan jumlah penumpang akan terus pulih menjelang akhir tahun lalu.

 

"Ini didorong oleh kembalinya operasi 140 pesawat berbanding 103 pada akhir suku ketiga 2022.

 

"Pada 2023, kami menjangkakan bilangan penumpang Capital A pulih kepada 78% daripada paras 2019, didorong oleh kembalinya perkhidmatan keseluruhan 200 pesawatnya menjelang akhir tahun ini," katanya. - DagangNews.com