KUALA LUMPUR 17 Feb - CGS-CIMB Research menyemak turun harga sasaran Taliworks Corp. Bhd. kepada RM1.02 daripada RM1.05 sesaham dengan mengekalkan saranan 'tambah' terhadap penarafan sahamnya selepas prestasi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) jauh di bawah jangkaan firma.
Bagi tahun kewangan itu, keuntungan bersih terasnya susut 36% tahun ke tahun kepada RM49.3 juta disebabkan kos operasi lebih tinggi, kerugian syarikat bersekutu dan keuntungan segmen pembinaan yang lemah.
Firma itu menjangkakan keuntungan segmen pembinaan Taliworks akan kekal lemah bagi FY23 berikutan kadar kemajuan kerja yang lebih rendah sekitar 10 hingga 15% berbanding 30 hingga 40% sebelum ini bagi projek Sungai Rasau.
"Kami dapati kontrak bernilai RM896 juta bagi pakej 2 dan 3 projek ini mungkin lambat daripada dijadualkan kerana masih menanti kelulusan tapak.
"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 hingga FY24 sebanyak 0.5 hingga 13% berikutan kerugian syarikat bersekutu yang lebih tinggi dan kemajuan kerja yang lebih perlahan bagi kontrak air Sungai Rasau," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut CGS-CIMB, Taliworks dijangka membayar dividen sebanyak 6.6 sen setahun bagi tempoh FY23 hingga FY25 di sebalik kerugian syarikat bersekutu yang lebih tinggi.
"Ini akan disokong daripada sumbangan menerusi aset solar baharu (yang mencatat keuntungan sebelum cukai dan faedah sebanyak RM8.1 juta pada FY22)," tambahnya.
Taliworks merekodkan prestasi bercampur-campur bagi FY22 dengan pertumbuhan positif didorong daripada jualan air bermeter, pemulihan kukuh daripada volum trafik lebuh raya dan pengiktirafan pampasan lebuh raya bertol berjumlah RM34 juta untuk lebuh raya Grand Saga dan Grand Sepadu.
Faktor negatif yang mempengaruhi prestasi kumpulan bagi tempoh tersebut termasuklah kerja-kerja fizikal yang lebih rendah daripada jangkaan kira-kira 3% pada akhir FY22 berbanding sasaran 17% bagi projek air Sungai Rasau.
Selain itu, kumpulan juga berdepan kerugian syarikat bersekutu yang lebih besar menerusi Solid Waste Management (SWM) Sdn. Bhd. berikutan kenaikan gaji minimum, kadar bayaran dividen yang lebih tinggi sebanyak 10% daripada 6% sebelum ini kepada pemegang saham utama di peringkat syarikat dan rosot nilai ke atas penghutang.
Bagi FY22, keuntungan bersihnya susut kepada RM55.14 juta daripada RM78.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM337.71 juta daripada RM302.58 juta. - DagangNews.com








