Sarawak kaji langkah mengimport 1 juta metrik tan simen setiap tahun daripada Siam Cement Group mulai 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak kaji langkah mengimport 1 juta metrik tan simen setiap tahun daripada Siam Cement Group mulai 2023

KUCHING 22 Dis - Sarawak sedang mengkaji untuk mengimport antara 500,000 hingga 1 juta metrik tan simen setahun daripada Siam Cement Group (SCG) di Bangkok untuk kegunaan tempatan bermula 2023.

 

Delegasi Sarawak yang diketuai oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) membuat lawatan sambil belajar ke ibu pejabat SCG pada Isnin (19 Dis).

 

Kumpulan itu pergi ke Thailand untuk meneroka kemungkinan membentuk syarikat usaha sama SEDC-BDA untuk mengimport simen dari SCG bagi menangani kekurangan simen di Sarawak dan isu kenaikan harga bahan tersebut.

 

Menurut satu kenyataan, hasil yang dijangkakan daripada inisiatif ini akan menyaksikan peningkatan bekalan simen di Sarawak untuk menangani keperluan segera pembinaan industri.


 

sarawak
Rombongan SEDC dan BDA bertemua pengurusan kanan Siam Cement Group (SCG) di Bangkok pada 19 Disember 2022.

 


Hari ini, purata harga seunit simen di Sarawak adalah 15 peratus lebih tinggi daripada di Semenanjung Malaysia dan 4 peratus lebih tinggi daripada Sabah.

 

Pengimportan simen adalah tertakluk kepada Sijil Kelulusan yang dikeluarkan oleh CIDB manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup adalah kementerian bertanggungjawab terhadap keputusan dasar mengenai pengimportan simen.

 

Pada 2021, Sarawak mengimport bahan binaan kapur, simen dan fabrikasi dengan jumlah keseluruhan nilai RM206.6 juta, terutamanya dari Semenanjung Malaysia (RM112.83 juta), Indonesia (RM56.3 juta) dan China (RM13.6 juta). — DagangNews.com