Salahuddin Ayub meninggal dunia, dikebumikan di Pontian 12 tengah hari 24 Julai 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Salahuddin Ayub meninggal dunia, dikebumikan di Pontian 12 tengah hari 24 Julai 2023

KUALA LUMPUR 24 Julai - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 9.23 malam tadi pada usia 61 tahun. 

 

Perkara itu disahkan oleh anak perempuannya, Fatiha Salahuddin menerusi kenyataan di laman Facebook. “Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya. 

 

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin  iaitu Syakirin Husnal dalam kenyataan berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

 

Jenazah Salahuddin Ayub dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat di Pontian, Johor, pada 12 tengah hari ini.

 

Menurut jadual perancangan dikongsikan Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin iaitu Syakirin Husnal, ziarah jenazah di kediaman ibu Allahyarham ditetapkan pada 7 pagi di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai.

 

Sementara ziarah jenazah di kediaman Allahyarham pula ditetapkan pada 10 pagi di TL7, Jalan Adil, Serkat dan solat jenazah dijadual pada 11 pagi di Masjid Jamek Dato’ Hj Noh Gadot, Serkat

 

Sehubungan itu, beliau berkata keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan kepada Salahuddin selama ini.

 

“Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah,” katanya. 

 

Kelmarin, Syakirin memaklumkan bahawa Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar. - DagangNews.com