Saham pelabuhan dimiliki firma asing bukan isu baharu, 30% PTP dipegang Maersk - Anthony Loke | DagangNews Skip to main content

Saham pelabuhan dimiliki firma asing bukan isu baharu, 30% PTP dipegang Maersk - Anthony Loke

Sebanyak 30% kepentingan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dimiliki Maersk. /Gambar hiasan PTP
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 April - Pemilikan asing dalam aset utama negara termasuk pelabuhan bukan sesuatu yang baharu malah 30% kepentingan dalam Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dimiliki Maersk dari Denmark.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sehubungan itu beliau tidak merasakan wujud apa-apa masalah sekiranya benar berlaku rancangan MMC Corp untuk menjual 49% saham mereka di dalam MMC Port Holdings Sdn Bhd (MMC Ports) kepada sebuah firma asing.

 

Menurut beliau, cumanya rancangan penjualan kepentingan syarikat yang terlibat dengan aset utama negara perlu selari dengan dasar kerajaan yang menetapkan 51% saham mesti dipegang syarikat tempatan.

 

"Selagi ia tidak bertentangan dengan dasar kerajaan, maka ia tidak jadi masalah. Dasar kerajaan ialah 51% saham aset utama mesti dipegang syarikat tempatan," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

 

Terdahulu beliau merasmikan kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) Evlution di sini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Firma pelaburan New York tangguh beli kepentingan dalam MMC Port milik Tan Sri Syed Mokhtar

 

loke
ANTHONY LOKE SIEW FOOK

 

Media semalam melaporkan Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah firma pelaburan dari New York telah menangguhkan rancangan untuk membeli sehingga 49% kepentingan dalam MMC Ports.

 

MMC PortS merupakan unit perniagaan konglomerat pelabuhan MMC Corp Bhd, yang dikawal oleh tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

 

Loke dalam pada itu menjelaskan beliau dan Kementerian Pengangkutan tidak dimaklumkan mengenai wujudnya rancangan MMC Corp untuk menjual 49% pegangan saham MMC Ports kepada sebuah firma dari New York seperti dilaporkan media.

 

Katanya, walaupun keputusan pelupusan pegangan saham adalah pertimbangan korporat namun jika melibatkan konsesi, apa-apa perubahan perlu dimaklukan kepada kerajaan. 

 

"Kita belum dapat makluman keputusan mereka, tetapi ini (jika berlaku) adalah usaha korporat. 

 

"Keduanya, penglibatan syarikat asing bukan perkara baru. Umpamanya di PTP, 30% PTP itu dimiliki syarikat Maersk.

 

"Jadi kalau pemegang konsesi merasakan ada sinerginya sudah tentu mereka membuat pertimbangan secara korporat dan komersial. Jadi ini terpulanglah (selagi tidak bertentangan dasar kerajaan)," jelasnya.- DagangNews.com