Iconic Worldwide umum pemegang saham utama, bakal realisasikan sepenuhnya potensi | DagangNews Skip to main content

Iconic Worldwide umum pemegang saham utama, bakal realisasikan sepenuhnya potensi

Iconic Worldwide Berhad akan memulakan strategi baharu bagi membolehkan Kumpulan merealisasikan sepenuhnya potensi pembangunan hartanah dan perniagaan pengurusan hospitaliti.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 April - Iconic Worldwide Berhad akan memulakan strategi baharu bagi membolehkan Kumpulan merealisasikan sepenuhnya potensi pembangunan hartanah dan perniagaan pengurusan hospitaliti susulan Pengerusi Eksekutif Iconic Worldwide, Datuk Seri Tan Kean Tet kini muncul sebagai pemegang saham utama baharu Kumpulan.

 

Ini berikutan kejayaan usaha korporat Kumpulan yang mengumpul hasil kasar RM95.6 juta melalui tawaran saham terbitan hak yang terlebih langganan dengan kepentingan Kean Tet dalam Iconic Worldwide telah meningkat kepada 36.59%.

 

tan
Pengerusi Eksekutif Iconic Worldwide, Datuk Seri Tan Kean Tet

 

Kean Tet berkata, masa depan kini cukup cerah untuk sektor hartanah dan hospitaliti di Pulau Pinang berikutan pertumbuhan kukuh dalam bidang pelancongan dan projek infrastruktur utama yang bermula tahun ini.

 

Katanya, ini seperti projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

 

"Kami akan membuat pelaburan lebih besar dan lebih berani bagi mempercepatkan pertumbuhan yang mampu meninggalkan impak pada industri hartanah.

 

"Kami berazam untuk memulihkan Kumpulan dan meneroka peluang untuk mengembangkan perniagaan," jelas beliau.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Saham hak Iconic Worldwide terlebih langgan, jana hasil RM95.6 juta

 

Kata Kean Tet, pihaknya telah memulakan perbincangan awal dengan bakal rakan kongsi untuk meneroka peluang membangunkan projek perbandaran mega dan hartanah perindustrian di Malaysia.

 

"Saya percaya permintaan akan meningkat untuk projek-projek ini berikutan tarikan unik Malaysia sebagai destinasi pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

 

"Iconic Worldwide juga sedang meneroka pembangunan hospitaliti berimpak tinggi yang direka untuk meningkatkan pelancongan di Pulau Pinang, selain daripada memanfaatkan reputasi pulau itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia," katanya.

 

Menurut beliau, pembangunan ini termasuk pusat peranginan, vila dan taman tema. 

 

"Pelaksanaan perjalanan tanpa visa untuk pelancong dari China dan India telah memberikan impak positif kepada industri pelancongan tempatan, yang mana akan menyokong pertumbuhan perniagaan hospitaliti kami," kata Kean Tet.

 

Jelas kenyataan itu, pada suku keempat tahun ini, Iconic Worldwide akan mula menguruskan Iconic Regency, sebuah apartmen servis di Sungai Nibong. 

 

Katanya, Iconic Regency adalah sebuah bangunan 42 tingkat yang merupakan salah satu menara kediaman tertinggi di Pulau Pinang. 

 

"Ia terdiri daripada 268 unit pangsapuri dengan binaan antara 500 kaki persegi hingga 850 kaki persegi. Dari segi lokasi, Iconic Regency terletak bersebelahan Iconic Marjorie, sebuah hotel lima bintang di bawah portfolio keluarga Marriott International. 

 

"Perkembangan ini akan memberi peningkatan lagi kepada segmen hospitaliti Kumpulan," ujarnya.

 

Pada 22 April 2024, Kumpulan mengumumkan pelancaran awal Iconic Harmony di Bukit Mertajam yang merangkumi 751 unit kediaman dan 16 unit rumah kedai dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM300 juta.

 

"Kami amat  bangga dengan kejayaan Iconic Harmony, di mana kami mencapai kadar pengambilan 70% dalam masa dua hari selepas pelancaran awal kami. Ini akan meletakkan kami dalam kedudukan yang lebih baik untuk mencapai keuntungan menjelang FY25.

 

"Seperti yang diperincikan sebelum ini, daripada RM95.6 juta hasil kasar yang diperoleh melalui pelaksanaan korporat Kumpulan baru-baru ini, RM39.8 juta atau 41.6% daripada hasil telah digunakan untuk memperoleh sebidang tanah pegangan bebas seluas kira-kira 15 ekar di Paya Terubong, Pulau Pinang.

 

"Kumpulan akan mengemukakan cadangan kepada pihak berkuasa negeri Pulau Pinang untuk kelulusan rancangan pembinaan dan pembangunan kediaman di atas aset yang baru diperoleh ini. Nilai pembangunan kasar (GDV) projek ini dijangka melebihi RM300 juta," katanya. - DagangNews.com