Kumpulan Richiamo umum penstrukturan, lantikan baharu berkuat kuasa April 2024 | DagangNews Skip to main content

Kumpulan Richiamo umum penstrukturan, lantikan baharu berkuat kuasa April 2024

Nurul Nabilah Muhamad Zamry (kiri), Muhamad Zamry Abu Samah (tengah) dan Wan Najib Wan Daud (kanan) memainkan peranan baharu dalam Kumpulan Richiamo bermula April 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - Kumpulan Richiamo Sdn Bhd mengumumkan penstrukturan syarikat melibatkan pertukaran dan lantikan baharu bagi mengetuai anak-anak syarikat yang ditubuhkan berkuat kuasa April 2024.

 

Mendahului pertukaran dan pestrukturan semula jawatan ialah Muhamad Zamry Abu Samah, yang sebelum ini merupakan Pengarah Urusan Richiamo Coffee Sdn Bhd dan beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Sdn Bhd.

 

Beliau bertanggungjawab terhadap pembesaran, operasi dan memantau hal ehwal anak-anak syarikat iaitu Richiamo Coffee Sdn. Bhd., Richiamo Manufacturing Sdn Bhd, Richiamo Mart Sdn. Bhd. dan Yayasan Dakwah Negara

.

Muhamad Zamry berkata, penstrukturan semula syarikat ini adalah bagi mengukuhkan kedudukan Richiamo di pasaran tempatan selain mengembangkan perniagaan menerusi anak-anak syarikat yang baru ditubuhkan.

 

“Selepas lapan tahun ditubuhkan, jenama Richiamo hanya dikenali sebagai jenama kopi, dan saya merasakan sudah tiba masanya untuk kami berkembang kepada perniagaan lain yang berkait rapat dengan perniagaan teras Richiamo Coffee,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

richiamo

 

Muhamad Zamry berkata, jenama itu merancang untuk bergerak aktif mulai tahun ini dengan beberapa anak syarikat telah dikenal pasti untuk memulakan operasi masing-masing mulai suku pertama 2024.

 

Pada masa sama, Richiamo mengumumkan pelantikan, Wan Najib Wan Daud, sebagai Pengarah Urusan Richiamo Mart Sdn Bhd berkuatkuasa April 2024.

 

Wan Najib sebelum ini adalah pegawai khas kepada Pengarah Urusan Richiamo Coffee, akan mengetuai operasi keseluruhan serta pengembangan cawangan Richiamo Mart di seluruh negara.

 

Richiamo Mart merupakan anak syarikat yang baharu ditubuhkan, ia merupakan sayap perniagaan baru dalam segmen runcit yang ditubuhkan dan beliau akan dipertanggungjawabkan terhadap perancangan Richiamo Mart khususnya.

 

richiamo

 

Menjelang separuh kedua 2024 antara tiga ke empat cawangan Richiamo Mart akan memulakan operasi.

 

Sementara itu, Nurul Nabilah Muhamad Zamry dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Richiamo Coffee dan akan mengetuai operasi harian rangkaian kopi itu juga bermula April 2024.

 

Sehingga kini Richiamo Coffee telah memiliki lebih 200 cawangan di seluruh negara.

 

Mengetuai Richiamo Manufacturing Sdn Bhd ialah Lim Boo Hiong, beliau akan memantau operasi pembuatan dan pembekalan bahan-bahan mentah yang akan digunakan oleh anak-anak syarikat Richiamo.

 

Dalam perkembangan sama, Nor Zuliyana Ahmad dilantik mengetuai Yayasan Dakwah Negara yang akan memantau semua gerak kerja yayasan yang lebih bertumpu kepada kerja-kerja kebajikan dan juga tanggung jawab sosial korporat untuk Kumpulan Richiamo. - DagangNews.com