Sapura Energy menang kontrak sediakan perkhidmatan bawah air untuk kumpulan Petronas | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy menang kontrak sediakan perkhidmatan bawah air untuk kumpulan Petronas

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 April - Sapura Energy Bhd telah dianugerahkan kontrak untuk penyediaan perkhidmatan bawah air pan-Malaysia untuk kumpulan syarikat Petronas dan kontraktor penyusunan petroleum.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Sapura Subsea Services Sdn Bhd telah dianugerahkan kontrak oleh PTTEP Sabah Oil Limited (PTTEP Sabah) untuk pakej B1 – Sabah dan PTTEP Sarawak Oil Limited (PTTEP Sarawak) untuk Pakej C1 - Sarawak.     

 

“Kontrak ini berkuat kuasa mulai 21 Februari 2024 untuk tempoh lima tahun,” katanya.

 

Skop kerja katanya, terdiri daripada penyediaan kapal sokongan menyelam, sistem menyelam udara dan tepu, kenderaan kendalian jarak jauh dan perkhidmatan bawah air lain yang berkaitan.

 

Ini termasuk pemeriksaan dasar laut, pembaikan dan penyelenggaraan struktur luar pesisir, saluran paip dan peralatan lain dan kerja-kerja lain yang berkaitan dengan kemudahan bawah air PTTEP Sabah dan PTTEP Sarawak di perairan Sabah dan Sarawak.

 

Sapura tidak mendedahkan nilai kontrak itu, hanya berkata ia adalah kontrak panggilan keluar dengan kadar unit yang dipersetujui.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sapura Energy jual 50% ekuiti dalam SapuraOMV Upstream kepada TotalEnergies berharga RM3.37 bilion

 

Kumpulan syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17) tersebut menjangkakan kontrak itu yang sah selama lima tahun mulai 21 Februari 2024, akan menyumbang secara positif kepada pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2025 (FY2025) dan tahun-tahun berikutnya.

 

Sapura mencatatkan kerugian bersih RM728.44 juta bagi 4QFY2024, daripada RM3.26 bilion setahun sebelumnya.

 

Saham Sapura Energy ditutup pada Isnin dengan harga pada 4.5 sen.- DagangNews.com