Ringgit akan terus bergelut sehingga akhir tahun ini dipengaruhi sentimen PRU-15, kelemahan ekonomi global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit akan terus bergelut sehingga akhir tahun ini dipengaruhi sentimen PRU-15, kelemahan ekonomi global

Kenanga Research menyemak semula unjuran KDNK 2022 kepada 6.5% hingga 7% berbanding 5.5% hingg 6% sebelum ini. - Gambar : Aidil Maula/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Sept - Ringgit akan terus bergelut pada suku keempat ini terutamanya dengan meningkatnya sentimen jangkaan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) lebih awal ditambah dengan ketidaktentuan faktor luaran, demikian menurut Kenanga Research.

 

Dalam pembukaan dagangan pagi ini, ringgit terus diheret turun dengan susut kepada RM4.5960/5980 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding penutupan pada Jumaat, RM4.5775/5800.
 

 

Firma itu berkata, ketidaktentuan ekonomi global dan domestik yang semakin meningkat mungkin memaksa kerajaan sedia ada untuk mengadakan pilihan raya lebih awal sebelum tarikh yang dijangkakan sebelum ini (pada pertengahan 2023).

 

Ia menjangkakan kerajaan akan membubarkan Parlimen seawal minggu kedua Oktober ini, selepas pembentangan Bajet 2023 dengan PRU-15 mungkin diadakan pada minggu pertama atau kedua November 2022 atau selewat-lewatnya pada minggu pertama Mac 2023 berikutan musim tengkujuh pada akhir tahun. 

 

Selepas susut nilai melebihi paras RM4.50 berbanding dolar AS buat kali pertama sejak Januari 1998 pada 7 September lalu, ringgit berkemungkinan bergelut untuk mendapatkan arah dalam beberapa bulan akan datang, kerana indeks dolar dijangka kekal tinggi sekitar paras 108 hingga 112 disebabkan sentimen pasaran yang berhati-hati. 

 

Selain itu, ringgit turut terdedah kepada landskap ekonomi global dan sentimen politik di Malaysia dengan potensi pilihan raya umum lebih awal, kemungkinan pencerobohan China ke atas Taiwan dan pertaruhan satu lagi kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) yang lebih besar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada September, ringgit mungkin terus tertekan di sekitar paras semasa.

 

"Bagaimanapun, prospek ekonomi domestik yang menggalakkan di tengah-tengah aktiviti pelancongan yang kukuh, yuan mungkin mengukuh selepas kongres Parti Komunis China (16 Oktober), kelemahan bermusim dolar AS dan harga komoditi yang tinggi mungkin membantu ringgit untuk mendapatkan semula beberapa kerugian.

 

"Oleh itu, kami menyemak semula unjuran ringgit menjelang akhir tahun ini kepada RM4.44 berbanding RM4.35 berbanding dolar AS.

 

"Melangkah ke hadapan, ringgit mungkin bergelut antara untung dan rugi dan didagangkan sekitar RM4.40 hingga RM4.50 pada separuh pertama 2023, sebelum mengukuh kepada sekitar RM4.30 menjelang akhir tahun hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam beberapa bulan pertama 2023, jurang yang semakin melebar antara kadar dasar Fed dan BNM mungkin menolak pelabur, menekan ringgit.

 

Namun, dengan kemungkinan pengurangan kadar oleh Fed pada separuh kedua 2023 ditambah dengan prospek pembukaan semula ekonomi China, akan terus menyokong mata wang tempatan itu.

 

Selain itu, sebagai salah satu mata wang yang paling dinilai rendah (berdasarkan Kadar Pertukaran Berkesan Sebenar), asas-asas Malaysia yang kukuh dan potensi peningkatan dalam premium hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)-Perbendaharaan AS (UST) mungkin terus menarik dana asing ke dalam negara, mengukuhkan lagi pasaran tempatan. 

 

 

PMO

 

 

Cabaran selepas pilihan raya

 

Mengenai PRU-15, Kenanga Research berkata, kerajaan baharu mahupun sedia ada yang bakal dibentuk perlu berdepan dengan beberapa isu utama ekonomi dalam tahun pertama pentadbirannya.

 

Ini termasuklah menangani defisit fiskal dan hutang kerajaan yang semakin meningkat, pengangguran dalam kalangan belia dan penempatan pekerjaan yang tidak sepadan. 

 

Selain itu, kerajaan juga perlu menangani isu berkaitan kos sara hidup yang semakin meningkat, pertumbuhan pendapatan yang rendah dan mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi di tengah-tengah risiko kelembapan ekonomi global pada 2023.

 

"Kami menjangkakan ketidaktentuan yang sederhanan dalam pasaran kewangan berikutan pembubaran Parlimen dan menjelangnya hari pilihan raya.

 

"Sekiranya, kepimpinan sedia ada mengekalkan status-quo, ia akan menyaksikan pasaran bon dan ekuiti terus mengukuh, memandangkan pelabur menjangkakan dasar-dasar sedia ada diteruskan.

 

"Tetapi, jika sebaliknya berlaku, kami menjangkakan pasaran kewangan akan berdepan tekanan yang besar dan mungkin mencatatkan peningkatan mendadak dalam aliran keluar modal asing, terutamanya untuk pasaran ekuiti," jelasnya. 

 

Apa yang menimpa pasaran tempatan ketika perubahan kerajaan secara mengejut ketika PRU-14 pada 9 Mei 2018, menyaksikan indeks utama FBM KLCI merosot sehingga 3.8% selama sebulan dan menyebabkan aliran keluar asing sebanyak RM5.6 bilion pada Mei, terbesar dalam tempoh hampir lima tahun.

 

Tetapi, pasaran bon mula mencatatkan pemulihan yang kukuh selepas itu, dengan hasil bon dan aliran asing kembali ke peringkat sebelum pilihan raya selepas dua bulan.

 

Pasaran tempatan pula kekal lemah dengan pasaran ekuiti terus merekodkan aliran keluar sehingga baru-baru ini.

 

Sebaliknya, kedua-dua pasaran bon dan ekuiti bertambah kukuh pada PRU-13 (Mei 2013) kerana kebanyakan pelabur sudah menjangkakan hasilnya, dan berkemungkinan disokong oleh prospek kestabilan dasar untuk lima tahun lagi.

 

 

Petronas

 


Hasil kerajaan menurun pada 2023

 


Sementara itu, dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini, Kenanga Research menjangkakan kerajaan akan meneruskan dasar fiskal mengembang walaupun mengecil sejajar dengan penyatuan fiskal pasca pandemik COVID-19.

 

Hasil kerajaan, katanya, dijangka menurun kepada RM253 bilion pada tahun hadapan tanpa dividen khas daripada Petronas dan Cukai Makmur di tengah-tengah harga komoditi yang lebih rendah ketika dunia bersiap sedia menghadapi kelembapan ekonomi dan dengan ancaman inflasi yang semakin meningkat.

 

Penguncupan hasil itu adalah lebih rendah daripada RM274 bilion atau 15.5% daripada KDNK yang diunjur pada 2022 (berbanding anggaran Kementerian Kewangan bagi 2022 sebanyak RM234 bilion).

 

Sebahagian besar hasil dijangka disumbangkan oleh cukai langsung dan tidak langsung yang lebih tinggi apabila ekonomi pulih selepas wabak dan dirangsang oleh penyambungan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk kenderaan baharu selepas Mac 2023.

 

"Namun begitu, kami tidak menolak kebarangkalian hasil bukan cukai yang lebih tinggi, khususnya dividen yang lebih tinggi daripada Petronas untuk tahun depan, dengan jangkaan harga minyak mentah kekal tinggi," katanya.

 

Menyentuh mengenai pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), firma itu berpendapat, ia lebih sesuai dilaksanakan pada separuh kedua 2023 sebaik sahaja pentadbiran baharu kerajaan memenangi PRU-15.

 

Katanya, ini memandangkan tekanan inflasi mulai berkurangan berikutan kesan asas rendah yang semakin mereda.

 

"Ini membolehkan kerajaan meningkatkan hasil dan melaksanakan projek pembangunan utama bagi meningkatkan ekonomi di samping memperkukuhkan kedudukan fiskal dalam tempoh sederhana," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Pemulihan ekonomi Malaysia

 


Secara dasarnya, menurut Kenanga Research, momentum pemulihan Malaysia kekal sensitif kepada beberapa risiko luaran selain kelembapan ekonomi global antaranya, dasar sifar COVID-19 di China, varian baharu kekal menjadi kebimbangan berterusan serta kemelesetan di AS dan Eropah.

 

"Malah, ketegangan geopolitik boleh memburukkan lagi situasi dan mungkin menjejaskan pemulihan ekonomi global yang lebih pantas," katanya.

 

Oleh itu, ia menjangkakan ekonomi negara akan berkembang secara sederhana pada suku keempat ini pada 2.5% berbanding anggaran 10.9% pada suku ketika memandangkan kesan asas rendah yang berkurangan.

 

Namun begitu, pemulihan pertumbuhan kekal utuh, dengan pertumbuhan suku ke suku akan pulih dan berkembang menjelang 2023.

 

"Ini membolehkan kami menyemak semula unjuran KDNK 2022 kepada 6.5% hingga 7% berbanding 5.5% hingg 6% sebelum ini, dengan pertumbuhan diunjur sederhana pada 2023 sekitar 4% hingga 4.5% sejajar dengan kelembapan ekonomi global," jelasnya.

 

Firma itu juga menjangkakan inflasi utama akan berlegar pada purata 3.3% tahun ini berikutan kos input import yang lebih tinggi.

 

Pada tahun hadapan, katanya, pelaksanaan sistem penetapan harga bahan api berperingkat mungkin melonjakkan Indeks Harga Pengguna (IHP) lebih tinggi kepada purata 4.2%.

 

"Bank Negara Malaysia (BNM) pula dijangka terus menaikkan kadar dasar semalam (OPR) pada November ini sebanyak 25 mata asas.

 

"Bagaimanapun, momentum 'hawkish' ini mungkin semakin perlahan pada 2023 disebabkan jangkaan pertumbuhan ekonomi global yang lemah," jelas firma itu. - DagangNews.com