KUALA LUMPUR 21 April - RHB Research menaikkan penarafan saham SP Setia Bhd. kepada 'beli' berbanding 'neutral' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.48 daripada RM1.28 sesaham.
Menurutnya, kedudukan kewangan syarikat pemaju hartanah itu dijangka meningkat secara berperingkat pada separuh kedua dan seterusnya dengan kumpulan kini memberi tumpuan kepada usaha pengurangan hutang.
Katanya, penyerahan beberapa projek di Melbourne, Australia dan Singapura termasuk potensi pelupusan yang diselesaikan akan membantu mengurangkan gearan bersih kepada 0.51 hingga 0.53x menjelang akhir tahun berbanding ketika ini, 0.61x (termasuk kepentingan bukan kawalan).
"Projek Sapphire dan UNO di Melbourne yang siap pada suku ketiga 2022 diikuti Daintree Residence di Singapura pada suku keempat sepatutnya membantu mengurangkan beban hutang antara RM1.5 hingga RM1.6 bilion daripada jumlah pembiayaan kumpulan sebanyak RM12.6 bilion.
"Malah, pendapatan juga dijangka tidak sekata pada separuh kedua tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu baru-baru ini mengadakan taklimat dengan Ketua Hubungan Pelabur SP Setia, Justin Jiew, yang mana ia mendapati pengurusan kemungkinan akan menebus Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) B (bernilai RM1.03 bilion) pada Disember 2022 selepas ulang tahun ke-5, dengan membuat pembiayaan semula.
"Kadar kupon semasa untuk tranche ini adalah pada 5.93% dan, pada pandangan kami, syarikat mempunyai kelebihan daripada persekitaran kadar faedah rendah semasa untuk membiayai semula pada kadar yang lebih rendah.
"Jika ini direalisasikan, ia sepatutnya membantu mengurangkan jumlah pembayaran dividen keutamaan SP Setia kepada kedua-dua RCPS-i yang berjumlah RM130 juta setahun," jelasnya.
Dalam pada itu, RHB berkata, penjualan berterusan bank tanah bukan teras dan plot strategik dalam pembangunan perbandaran sepatutnya membantu mengurangkan penggearan seterusnya dan menambah nilai kepada bank tanahnya dengan cepat.
Katanya, walaupun kumpulan tidak mempunyai perancangan untuk menambah bank tanah di Malaysia, tetapi SP Setia sedang meninjau beberapa peluang berpotensi di Melbourne, terutamanya apabila projek sedia ada dijangka siap tahun ini.
"Secara dasarnya, kami tidak bimbang mengenai potensi pembiayaan kerana keuntungan terkumpul yang dijana dalam semua projek SP Setia di Melbourne sebelum ini, sepatutnya dapat membantu membiayai pembelian tanah baharu," katanya.
Firma itu bagaimanapun menjangkakan jualan hartanah yang lemah pada suku pertama 2022 tetapi kumpulan dilihat mampu mencapai sasaran jualan sebanyak RM4 bilion tahun ini didorong pelancaran baharu bernilai RM4.25 bilion.
Setakat 12.19 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 2 sen atau 1.64% kepada RM1.24 dengan 442,800 saham diniagakan. - DagangNews.com








