KUALA LUMPUR 15 Dis - RHB Research mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah sekitar RM3,900 satu tan metrik pada 2023, lebih rendah berbanding anggaran purata RM5,100 tahun ini.
Harga komoditi itu diunjur lebih rendah pada 2024 dengan berlegar sekitar RM3,500 satu tan metrik.
Menurutnya, harga minyak sawit mentah sepatutnya kekal dalam julat pada 2023, kerana penambahbaikan bekalan akan secara relatif seimbang dengan peningkatan dalam permintaan.
Namun, firma itu menjangkakan bekalan akan kembali meningkat pada 2024, manakala permintaan terpendam pada 2023 mungkin menyederhana menyebabkan harga minyak sawit mentah lebih rendah.
"Walaupun risiko kenaikan harga menyederhana sejak akhir-akhir ini, namun, masih terdapat faktor sokongan yang sepatutnya mengekalkan harga secara relatifnya stabil.
"Ini termasuk ketidaktentuan cuaca, ketersediaan baja dari Rusia dan permintaan yang semakin meningkat disebabkan pengurangan harga minyak sawit mentah berbanding minyak kacang soya serta kemungkinan peningkatan mandat biodiesel Indonesia," katanya dalam nota kajian semalam.
Walaupun berdepan masalah La Nina, dengan model iklim menjangkakan ia akan berakhir pada awal 2023, ia tidak menjejaskan penanaman kacang soya Amerika Selatan seperti yang dijangkakan sebelum ini.
Kemajuan penanaman Brazil berada di landasan yang betul, pada 91% setakat 5 Disember 2022 (berbanding 95% tahun lalu).
Bagaimanapun, kemajuan penanaman Argentina lebih perlahan, iaitu 29% siap (berbanding 46% pada tahun lalu).
Sekiranya La Nina bertahan lebih lama daripada jangkaan, penanaman kacang soya Argentina mungkin lebih berisiko, manakala kualiti kacang soya Brazil boleh terjejas.
Menurut RHB Research, walaupun nisbah stok/penggunaan dijangka meningkat untuk minyak kacang soya dan komposit 10 biji minyak, ia dijangka menurun sedikit untuk minyak sawit, lapan minyak sayuran dan 17 komposit minyak dan lemak.
"Tetapi, kami dapati semua nisbah stok/penggunaan adalah melebihi purata sejarah pada 2023 – bermakna paras stok tidak lagi berada dalam kedudukan yang ketat pada tahun hadapan," jelasnya.
Namun, firma itu menjangkakan paras stok minyak sawit mentah akan terus menurun pada Disember, tetapi kekal melebihi 2 juta tan metrik.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan pilihan utamanya ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) dan IOI Corp Bhd. - DagangNews.com








