RHB Investment 'potong' unjuran pendapatan Petronas Gas FY23-FY24 sebanyak 5% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Investment 'potong' unjuran pendapatan Petronas Gas FY23-FY24 sebanyak 5%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - RHB Investment Research mengurangkan pendapatan tahun kewangan 2023 hingga 2024 (FY23-24) Petronas Gas Bhd. sebanyak 5% untuk menggabungkan margin lebih rendah bagi segmen pengangkutan gas dan pengegasan semula gas asli cecair (LNG).

 

Namun, firma itu mengekalkan penarafan ‘neutral’ dengan meningkatkan harga sasaran (TP) kepada RM17.45 berikutan kedudukan tunai bersih tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak RM190 juta dengan mengambil kira premium 0%.

 

Risiko peningkatan utama, menurut CSG-CIMB, adalah margin operasi yang kukuh daripada jangkaan dan pemotongan tarif yang rendah daripada jangkaan manakala risiko penurunan adalah pemotongan tarif yang tinggi daripada jangkaan dan penghapusan subsidi gas.

 

Firma itu berkata, berikutan kelulusan rangka kerja Peraturan Asas Insentif (IBR) Tempoh Pengawalseliaan 2 (RP2), tarif yang rendah menjejaskan hasil pengangkutan gas dan pengegasan semula. 

 

“Margin utiliti Petronas Gas berada di bawah tekanan akibat harga gas bahan api yang tinggi namun surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) pada separuh pertama 2023 (1H23) membantu mengurangkan kesannya,” kata firma itu.

 

Menurutnya, kepelbagaian perniagaan sampingan seperti mengisi bunker LNG, pemuatan trak LNG, unit penjanaan nitrogen dan lain-lain dilihat tidak penting ketika ini.

 

“Garis masa keputusan pelaburan terakhir untuk tangki penyimpanan LNG yang ketiga di Pengerang telah ditangguh sehingga pertengahan tahun ini disebabkan penyusunan semula kos di tengah-tengah peningkatan kos,” katanya yang menambah projek itu dianggap sebagai perniaggan yang tidak dikawal selia.

 

Petronas Gas masih menawarkan hasil dividen yang baik sekitar 5% untuk FY23-25, RHB Investment mengandaikan nisbah dividen 87%, sedikit rendah daripada nisbah pembayaran purata lima tahun sebanyan 91%.

 

Pendapatan syarikat itu pada FY22 sebanyak RM1.7 bilion adalah di bawah jangkaan firma tersebut, di mana ia hanya mencapai 91% dan 98% daripada anggaran tahun penuh.

 

Firma itu juga menjangka pertumbuhan mendatar pada perniagaan terasnya pada suku akan datang. -DagangNews.com