KUALA LUMPUR 20 Feb - RHB Investment Research menyemak naik penarafan Kossan Rubber Industries Bhd. kepada 'neutral' daripada 'jual' sebelum ini dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.08 daripada 91 sen sebelum ini.
Ia berdasarkan kepada keupayaan kumpulan mampu mengharungi cabaran jangka pendek berdasarkan kepada pelan pengembangan kapasiti berhemat industri secara berterusan dan kedudukan kunci kira-kiranya yang kukuh.
Namun, firma itu mengurangkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24 masing-masing sebanyak 65% dan 34%.
Semakan semula itu mengambil kira anggaran kapasiti yang lebih rendah disebabkan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) dan kadar penggunaan loji yang lebih rendah.
"Kumpulan kekal berhati-hati memasuki 2023, ekoran situasi lebihan bekalan dan harga tenaga dan kos buruh yang tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu mendapati kos pelepasan kekal mencabar dalam tempoh terdekat disebabkan pesanan baharu industriagak tidak menentu manakala pelanggan masih enggan membuat pesanan pukal," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam jangka masa terdekat, tahap inventori pengedar sarung tangan masih berada pada 4 hingga 6 bulan (sebahagian besarnya tidak berubah) berbanding panduan sebelumnya.
Ini berkemungkinan disebabkan kadar nyahstok yang lebih perlahan daripada dijangkakan dalam segmen peperiksaan/penggunaan tunggal dan sains hayat.
"Kami berpendapat industri boleh bersedia untuk mencapai pemulihan permintaan menjelang separuh kedua 2023 berikutan pendekatan yang lebih berdisiplin dalam mengurangkan pelan kapasiti baharu.
"Pada masa sama, pembetulan harga gas asli baru-baru ini (menurun 43% setakat ini) dapat membantu mengurangkan kos buruh dan elektrik yang tinggi pada separuh kedua 2023," tambahnya.
Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, Kossan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM2.5 juta daripada keuntungan bersih RM218.67 juta dengan pendapatan merosot 47.9% kepada RM481.45 juta daripada RM924.55 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tahun kewangan penuh FY22, keuntungan bersih Kossan merudum kepada RM156.62 juta daripada RM2.86 bilion yang dilaporkan tahun kewangan sebelumnya.
Pendapatan merosot 65.1% kepada RM2.32 bilion daripada RM6.63 bilion sebelumnya, disebabkan oleh perolehan lebih rendah daripada bahagian sarung tangan dan bilik bersih.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Kossan berkata, pendapatan bahagian sarung tangan jatuh sebanyak 68.1% kepada RM1.99 bilion pada FY22 berbanding dengan RM6.26 bilion pada FY21 disebabkan ASP dan volum jualan lebih rendah.
Setakat 12.07 tengah hari, harga saham Kossan menokok 2 sen atau 1.79% kepada RM1.14 dengan 1.63 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








