KUALA LUMPUR 25 Julai - Reservoir Link Energy Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Reservoir Link Renewable Sdn. Bhd. memeterai perjanjian pemegang saham dengan Sunseap Energy (Malaysia) Sdn. Bhd. (EDPR Sunseap) serta RL Sunseap Energy Sdn. Bhd. berikutan usaha sama dengan EDPR Sunseap pada April 2022.
Di bawah perjanjian itu, Reservoir Link akan bekerjasama dengan EDPR Sunseap untuk melaksanakan peruntukan projek Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (PPA Solar) di Malaysia melalui RL Sunseap Energy, di mana Reservoir Link akan mempunyai pegangan saham sebanyak 51% dengan EDPR Sunseap mempunyai baki 49%.
Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, kerjasama dengan EDPR Sunseap terbukti berfaedah dan meningkatkan status daya saing kumpulan dalam industri solar, memandangkan sentimen pasaran yang kukuh terhadap tenaga boleh diperbaharui (RE).
Katanya, ini terbukti menerusi 2 projek atas bumbung solar utama baru-baru ini yang dianugerahkan kepada kumpulan pada bulan lalu.
"Kami akan melihat kerjasama ini dari sudut yang positif di samping kami berkembang secara progresif bersama-sama dengan EDPR Sunseap dan memacu ke arah matlamat bersama untuk menjadi salah satu pemain terkemuka dalam ruang solar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Objektif dan tujuan utama usaha sama tersebut adalah untuk menjalankan perniagaan dalam membangun, membina, memiliki dan mengendalikan PPA solar atas bumbung dan tanah di Malaysia.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan memanfaatkan bidang kepakaran masing-masing untuk menyediakan bantuan teknikal berkaitan reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan projek seterusnya.
Sementara itu, jurucakap EDPR Sunseap berkata, perjanjian itu mengukuhkan usaha sama antara EDPR Sunseap dan Reservoir Link ketika syarikat ingin melaksanakan lebih banyak projek tenaga solar di Malaysia.
"Kira-kira 40% daripada bekalan tenaga Malaysia dijangka boleh diperbaharui menjelang 2035 dan kami berharap dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam peralihan negara kepada tenaga bersih,” katanya. - DagangNews.com








