KUALA LUMPUR 13 Okt - Reservoir Link Energy Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Reservoir Link Renewable Sdn. Bhd. memperoleh kontrak pembangunan tenaga solar di atas bumbung membabitkan dua syarikat bermula Januari 2023.
Ia menerima surat anugerah bagi projek tersebut daripada Klang River Property Sdn. Bhd. dan EE Food International Sdn. Bhd. dengan kapasiti pemasangan masing-masing ialah 132 kWp dan 180 kWp apabila siap.
Perjanjian pembelian tenaga solar (PPA) itu dijangka menyumbang jumlah pertambahan pendapatan sebanyak RM3.1 juta secara kolektif dalam tempoh 15 tahun.
Pengarah Urusan Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, kumpulan akan terus meningkatkan penglibatan dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE) dan juga menunjukkan keupayaannya untuk memenuhi permintaan industri yang rancak.
"Merujuk kepada projek terbaru kami dengan Osram Opto Semiconductors (Malaysia) Sdn. Bhd. yang ditandatangani pada Jun lalu, kami baru sahaja melaksanakan fasa pertama projek ini dan percaya kami akan dapat menjejaki rekod prestasi kami yang terbukti kepada pelanggan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dengan perolehan terkini itu, nilai kontrak Reservoir Link untuk segmen RE telah mencecah lebih RM50 juta.
Di samping itu, kumpulan akan membina dan memiliki sejumlah ladang RE solar dengan kapasiti 11 Megawatt.
Sebelum ini, Reservoir Link menerusi anak syarikat pegangan 51% miliknya, Founder Energy Sdn. Bhd. telah menerima tempahan pembelian daripada Samaiden Sdn. Bhd. dan Fabulous Sunview Sdn. Bhd. (anak syarikat milik penuh Sunview Group Bhd. yang akan disenaraikan) untuk membekalkan struktur pemasangan solar.
Perkembangan itu adalah sejajar dengan permintaan yang berkembang pesat terhadap penggunaan negara yang semakin meningkat serta peralihan kepada RE. - DagangNews.com








