Redtone Digital milik Vincent Tan raih kontrak perkhidmatan komunikasi bernilai RM398 juta daripada kerajaan | DagangNews Skip to main content

Redtone Digital milik Vincent Tan raih kontrak perkhidmatan komunikasi bernilai RM398 juta daripada kerajaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - Redtone Digital Bhd milik Tan Sri Vincent Tan berjaya memperoleh kontrak perkhidmatan komunikasi bernilai RM398.1 juta daripada kerajaan.

 

Kumpulan itu menerusi Redtone Engineering & Network Services Sdn Bhd meraih kontrak MyGovUC 3.0 selama 60 bulan daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

 

“Kontrak itu meliputi komunikasi bersatu kerajaan termasuk sistem mel elektronik, sistem kalendar, persidangan audio dan video, ruang bicara, pengurusan direktori serta pengurusan perubahan termasuk latihan pengguna

 

"Ia juga merangkumi sokongan perisian, pusat operasi keselamatan, pusat operasi rangkaian dan meja bantuan yang meliputi pengurusan keselamatan maklumat,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu menerima surat tawaran kontrak itu semalam dengan tarikh kontrak bermula pada 1 Februari 2024.

 

 

viencent
Redtone dimiliki 40.8% oleh Berjaya Corp Bhd dengan Vincent adalah pemegang saham tunggal terbesar.

 

 

Kontrak ini tidak akan memberi sebarang kesan kepada modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama Redtone serta sebarang kesan material ke atas aset bersih, pendapatan dan pada paras hutang kumpulan bagi tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2024.

 

Katanya kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan Redtone.

 

“Tiada pengarah atau pemegang saham utama Redtone dan/atau orang yang berkaitan mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak itu," katanya. - DagangNews.com