RCEP, CPTPP mampu lonjakkan perdagangan Malaysia menjelang 2024 - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RCEP, CPTPP mampu lonjakkan perdagangan Malaysia menjelang 2024 - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Feb - Perdagangan Malaysia masih berdepan faktor luaran yang mencabar terutamanya kebimbangan kelembapan global, inflasi, pengetatan dasar monetari dan risiko geopolitik di Asia dan Eropah.

 

Menurut MIDF, berdasarkan prestasi indeks pengurus pembelian (PMI), permintaan global berada pada arah aliran lemah apabila kedua-dua Perkhidmatan Global dan PMI Pembuatan mencatatkan angka kurang meyakinkan masing-masing sebanyak 48.1 dan 48.6 mata pada Disember.

 

Malah, PMI Pembuatan bagi Januari 2023 untuk Amerika Syarikat (AS) kekal di bawah zon pesimis pada 46.8 mata manakala PMI Pembuatan Zon Euro berterusan kurang meyakinkan selama tujuh bulan berturut-turut sejak Julai 2022.

 

"Oleh itu, kami meramalkan sedikit penyederhanaan dalam unjuran pertumbuhan eksport daripada 25% tahun ke tahun untuk 2022 kepada 9.2% tahun ke tahun bagi 2023.

 

"Dari sudut positif, pembukaan semula China akan memberi hikmah kepada aliran perdagangan global," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, pasaran eksport Malaysia masih berdaya tahan antara lain disokong jualan luar negara produk komoditi dengan harga komoditi kekal tinggi, minyak sawit mentah pada RM3,500 satu tan metrik dan minyak mentah Brent pada AS$94 setong untuk 2023.

 

"Bagi import, permintaan domestik yang kukuh dan aktiviti tempatan yang bertambah baik membawa kepada penghantaran masuk yang lebih tinggi, dengan purata 31.3% tahun ke tahun untuk 2022.

 

"Kami menjangkakan import akan mencecah sekitar 9.5% tahun ke tahun, lebih tinggi daripada eksport kerana kami melihat permintaan dalam negeri kekal kukuh," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Pada Januari 2023, PMI pembuatan Malaysia merosot kepada 46.5 mata pada Januari 2023 berbanding 47.8 bulan sebelumnya, yang 'memaparkan kesederhanaan sektor itu', menurut S&P Global.

 

Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence, Usamah Bhatti berkata, terdapat isyarat selanjutnya bahawa keadaan ekonomi di Malaysia pada Januari masih tidak memberangsangkan berikutan situasi mencabar dalam sektor pembuatan yang mengehadkan permintaan dan pengeluaran di syarikat-syarikat pembuatan Malaysia.

 

Data PMI terkini masih menunjukkan pertumbuhan dalam data rasmi ke tahun baharu, meskipun pada kadar lebih perlahan.

 

MIDF Research bagaimanapun positif dengan prospek perdagangan luar menjangkaui 2023 terutamanya dengan ratifikasi Malaysia dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

 

Menurutnya, selain daripada kenaikan harga komoditi dan kadar monetari yang lebih rendah, aktiviti perdagangan luar Malaysia dijangka berkembang mantap di tengah-tengah impak perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu tersebut.

 

"Dengan adanya dua FTA ini, produk Malaysia mampu menembusi pasaran yang lebih luas dan menikmati barangan import yang lebih murah.

 

"Kami juga melihat kadar pertumbuhan eksport dan import Malaysia masing-masing mencecah 12.1% dan 10.9% pada 2024," jelasnya.

 

 

miti

 

 

RCEP berkuat kuasa pada 18 Mac 2022 manakala CPTPP pada 29 November 2022. Terdapat 15 negara dalam RCEP iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand, China, Korea Selatan, Australia, Jepun dan New Zealand.

 

CPTPP pula ialah perjanjian dagangan bebas antara Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, Peru, New Zealand, Singapura dan Vietnam. 

 

Setakat 2022, ahli RCEP menyumbang 58.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia manakala ahli CPTPP menyumbang sebanyak 27.5%.

 

Walaupun RCEP memegang sumbangan yang lebih besar daripada jumlah perdagangan, lebihan dagangan Malaysia dengan ahli CPTPP lebih tinggi pada RM132.9 bilion berbanding RCEP sekitar RM89.6 bilion pada 2022.

 

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, CPTPP akan mengurangkan KDNK Malaysia sebanyak AS$56.5 bilion sepanjang tempoh 2021 hingga 2030. - DagangNews.com