KUALA LUMPUR 21 Sept - Penyiapan gudang intralogistik automatik dijangka meningkatkan rantaian bekalan dan kecekapan logistik Rhong Khen International Berhad seterusnya mengurangkan perbelanjaan operasi secara tidak langsung.
MIDF Research berkata ia positif terhadap kerjasama Rhong Khen dan PTT Synergy Group Berhad (PTTS) untuk menubuhkan perniagaan sistem palet berikutan jangkaan tersebut.
Berdasarkan memorandum persefahaman (MoU), firma penyelidikan itu berkata PTT Synergy komited mengeluarkan dan memasang 200,000 palet sistem dalam tempoh dua tahun dari tarikh perjanjian definitif, serta bertanggungjawab dalam pembangunan, pembekalan dan penyelenggaraan palet untuk menyokong ekosistem gudang intralogistik automatik.
BACA JUGA: Rhong Khen, PTT Synergy jalin kerjasama tubuh perniagaan sistem palet
Bagaimanapun, firma itu berkata butiran khusus perjanjian definitif, termasuk terma dan syarat yang dipersetujui bersama untuk pelaksanaan gudang intralogistik automatik, belum didedahkan.
“Selain itu, kumpulan itu menjangkakan bahawa MoU terbabit tidak akan memberi kesan yang ketara ke atas prestasi kewangan syarikat untuk tahun kewangan 2024 (FY24).
“Justeru, kami tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan kami untuk FY24-26, sementara menunggu maklumat lanjut.,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut MIDF Research, ia meramalkan permintaan lemah untuk perabot dalam jangka masa terdekat, memandangkan situasi inventori berlebihan berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan cabaran lain, yang dijangka menyebabkan tempahan pelanggan berkurangan dan, akibatnya, pendapatan lebih rendah.
“Walaupun mungkin terdapat peningkatan jumlah sekali-sekala pada suku tertentu, kami percaya turun naik sedemikian tidak mungkin mampan berikutan cabaran ini.
“Dari segi positif, Rhong Khen mempunyai kedudukan tunai bersih sihat sebanyak RM162.5 juta pada 3QFY23, bersamaan dengan 62.5% daripada jumlah permodalan pasarannya, memberikan penampan terhadap risiko penurunan,” tambahnya.
Firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.35 sesaham.
Firma itu berkata potensi pemangkin untuk penarafan semula adalah jualan perumahan yang kukuh di AS, yang membawa kepada permintaan yang lebih tinggi daripada jangkaan untuk perabot kayu Rhong Khen.
Setakat pukul 9:33 pagi ini, saham Rhong Khen tidak berubah pada RM1.36, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM264.3 juta. - DagangNews.com








