KUALA LUMPUR 13 Okt - Ranhill Utilities Bhd meraih kontrak RM9.78 juta yang merupakan sebahagian daripada program pemulihan Loji Rawatan Air Sembrong Barat di Kluang, Johor.
Ranhill Utilities berkata kontrak ini, yang dianugerahkan oleh Ranhill SAJ Sdn Bhd, melibatkan reka bentuk, pembinaan, ujian dan pentauliahan sistem microstrainer dan kerja berkaitannya.
Ranhill SAJ dimiliki 80% oleh Ranhill Utilities, manakala baki 20% kepentingan dimiliki oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johore (Inc).
Ranhill SAJ ialah pengendali air bersepadu di Johor dan terlibat terutamanya dalam pengabstrakan air mentah, rawatan air, pengedaran dan penjualan air terawat kepada pengguna.
Kontrak itu dijangka siap menjelang Julai tahun depan, mengambil masa sembilan bulan, kata Ranhill Utilities dalam pemakluman di Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata anak syarikat milik penuhnya Ranhill Water Technologies Sdn Bhd memperoleh kontrak itu melalui pelaksanaan tender terbuka kompetitif yang dijalankan oleh Ranhill SAJ.
Ranhill Utilities berkata memenangi kontrak ini adalah bukti keupayaan dan rekod prestasi Ranhill Water dalam menggunakan sistem penapis mikro untuk meminimumkan kepekatan alga yang memasuki loji rawatan air sedia ada untuk prestasi kualiti yang lebih baik.
"Ini akan menjadi sistem microstrainer pertama yang digunakan dalam loji rawatan air di negara ini untuk mengeluarkan alga daripada air empangan," kata Ranhill Utilities.
"Sistem penapis mikro akan membantu Loji Rawatan Air Sembrong Barat mengatasi isu alga bermusim yang mekar di Empangan Sembrong," tambahnya.- DagangNews.com








