Rakyat Malaysia dipelawa undi SK Kempadang bantu menangi World’s Best School Prize | DagangNews Skip to main content

Rakyat Malaysia dipelawa undi SK Kempadang bantu menangi World’s Best School Prize

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Khazanah Nasional Berhad, Yayasan Hasanah, Yayasan Pahang, Yayasan AMIR dan LeapEd mengajak semua rakyat Malaysia membantu sebuah Sekolah Amanah, Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang membawa pulang kemenangan buat Malaysia dengan mengundi di https://worldsbestschool.us.launchpad6.com/2022/entry/818 sebelum 11:59 malam pada 2 Oktober 2022 (7.59 pagi, 3 Oktober 2022 waktu Malaysia).

 

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, sekolah yang terletak di pedalaman Kampung Kempadang, Kuantan, Pahang itu telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia setelah disenaraikan sebagai Finalis 3 Teratas dalam anugerah ulung World’s Best School Prizes bagi ketegori Inovasi.

 

Menurutnya, SK Kempadang telah disenarai pendek daripada lebih 3,500 buah sekolah yang menghantar penyertaan dari lebih 111 buah negara dan berpeluang untuk memenangi hadiah bernilai AS$50,000 (RM228,925) sekiranya mereka terpilih sebagai World’s Best School bagi kategori Inovasi.

 

"SK Kempadang ialah sebuah sekolah rendah yang terdiri daripada murid B40 dari sebuah kampung nelayan di Pahang. Semasa pandemik dan peperiksaan UPSR dimansuhkan, mereka memerlukan sistem yang mantap bagi memastikan pentaksiran berasaskan sekolah diteruskan secara efektif. 

 

"Mereka bekerjasama secara proaktif dalam pasukan untuk membangunkan alat bagi memenuhi keperluan mereka. Penyelesaian digital mereka, SMARTZOOM yang mengesan kemajuan masa sebenar murid, membuktikan kapasiti dan keyakinan sekolah untuk berinovasi, serta apa yang boleh dicapai oleh sekolah kita sekiranya kemahiran mereka diupaya dan diperkasakan untuk menyelesaikan masalah yang paling mencabar. 

 

"Kami sangat terinspirasi dengan daya tahan SK Kempadang dalam menghadapi pandemik COVID 19, dedikasi mereka untuk mengharungi cabaran, inovasi dalam penggunaan teknologi, dan usaha bersama masyarakat Kg Kempadang untuk membawa perubahan sebenar terhadap kehidupan murid mereka," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, pasukan di Khazanah Nasional Berhad, Yayasan Pahang, Yayasan Hasanah, Yayasan AMIR dan LeapEd memberi sokongan sepenuhnya kepada SK Kempadang untuk membawa pulang kemenangan kepada Malaysia. 

 

"Kami telah mengundi di pautan tersebut bersama-sama rakan kongsi, kami ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyokong impian SK Kempadang untuk menang, seterusnya memantapkan dan berkongsi inovasi digital SMARTZOOM mereka dengan sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia dalam usaha mentransformasikan pendidikan.

 

"Kejayaan SK Kempadang di pentas dunia akan membuktikan apa yang boleh kita capai untuk anak-anak Malaysia sekiranya kita bersatu sebagai satu bangsa," katanya.

 

Katanya, pendidik dan pemimpin SK Kempadang telah berikrar sekiranya mereka memenangi World’s Best School Prize bagi kategori Inovasi, dengan hadiah wang tunai tersebut akan digunakan untuk menambah baik dan memperluaskan kapasiti SMARTZOOM untuk dikongsikan kepada sekolah lain di seluruh Malaysia. 

 

"Dana ini juga akan digunakan untuk menyokong aktiviti kokurikulum sekolah, seperti membantu murid mereka meneruskan penyertaan dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan," katanya.

 

Finalis 3 Teratas bagi setiap lima anugerah World’s Best School Prizes dibuka untuk Undian Awam. Orang ramai diberikan masa sehingga 2 Oktober, 11:59 malam GMT untuk memaklumkan pemenang yang layak kepada juri di https://worldsbestschool.us.launchpad6.com/2022/entry/818. - DagangNews.com