KUALA LUMPUR 4 Okt - CB Insights menamakan Qoala dalam kedudukan Fintech 100 yang keenam (sebelum ini dikenali sebagai Fintech 250) yang memperlihatkan 100 syarikat fintech swasta paling berpotensi pada tahun 2023.
Ketua Penganalisis Fintech CB Insights, Chris Bendtsen berkata, mewakili 24 negara berbeza di seluruh dunia, Fintech 100 pada tahun ini membentuk masa depan pembayaran masa nyata, pengurusan perbelanjaan secara automatik, integrasi perkhidmatan kewangan dan banyak lagi.
"Mereka bukan sahaja bersama-sama meningkatkan kelajuan inovasi, tetapi turut melancarkan produk dan ciri-ciri baharu untuk merevolusikan industri secara keseluruhan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Qoala, Harshet Lunani pula berkata, pihaknya berbesar hati kerana tersenarai dalam Fintech 100.
Katanya, ia adalah bukti semangat inovasi yang pihaknya bawa ke dalam industri insurans dan impak yang telah dihasilkan dalam kehidupan pengguna di seluruh Asia Tenggara.
"Kejayaan Qoala tersenarai dalam senarai ini menjadi lebih bermakna kerana kami salah satu daripada dua syarikat dalam pasaran berkembang yang beribu pejabat di Indonesia," katanya.
Pasukan penyelidikan CB Insights telah memilih 100 pemenang daripada 19,000 syarikat swasta termasuk syarikat yang membuat permohonan dan dicalonkan.

Mereka dipilih berdasarkan beberapa faktor antaranya pendanaan ekuiti, profil pelabur, aktiviti penyelidikan dan pembangunan dan potensi pasaran.
Pasukan penyelidikan juga menilai ribuan Taklimat Penganalisis yang dikemukakan oleh pemohon.
Sebagai sebuah syarikat insurtech omnichannel terkemuka di Asia Tenggara, Qoala mempermudah akses kepada insurans kepada lebih lapan juta pelanggan.
Kewujudan Qoala di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam berjaya menghubungkan insurans yang berpatutan dan boleh disesuaikan kepada pelanggan.
Pada Julai 2023, peranan Qoala dalam kategori pengedaran juga diiktiraf apabila tersenarai dalam Insurtech 50 CB Insights. - DagangNews.com








