KPJ dijangka raih manfaat awal reformasi kesihatan swasta - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ dijangka raih manfaat awal reformasi kesihatan swasta - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Julai - KPJ Healthcare Bhd dijangka muncul sebagai penerima manfaat terbesar dalam jangka masa terdekat susulan rombakan menyeluruh sistem penjagaan kesihatan swasta negara menerusi pelaksanaan pelan insurans asas MediAsas, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, KPJ yang memberi tumpuan kepada pesakit daripada kumpulan berpendapatan rendah hingga sederhana berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan peningkatan jumlah pesakit apabila MediAsas mula diperkenalkan.

 

Menurutnya, pelan insurans asas yang dibangunkan kerajaan itu dijangka melindungi pesakit berisiko rendah atau mereka yang tidak mempunyai perlindungan insurans, sekali gus meningkatkan jumlah kemasukan pesakit ke hospital swasta.

 

"Kami percaya perlindungan MediAsas yang dihadkan serta premium yang rendah menjadikannya lebih kepada pemacu peningkatan jumlah kes berbanding peningkatan campuran kes (case mix).

 

"Keadaan ini lebih memberi manfaat kepada pengendali hospital yang berorientasikan jumlah pesakit seperti KPJ," katanya dalam nota penyelidikan.

 

MediAsas merupakan program perintis bagi pelan insurans dan takaful perubatan asas yang dijadual dilancarkan menjelang akhir Julai ini, dengan premium bulanan bermula sekitar RM60.

 

Program tersebut merupakan sebahagian daripada strategi 'Reset' kerajaan yang bertujuan menangani kenaikan premium insurans dan inflasi kos perubatan.

 

Penyeragaman Bil Hospital

Dalam jangka panjang, kerajaan turut merancang melaksanakan sistem Diagnosis-Related Group (DRG) bagi menyeragamkan bil hospital berdasarkan tahap kerumitan dan keseriusan sesuatu penyakit.

 

Maybank IB berkata, reformasi berkenaan lebih bertujuan memperbaiki kaedah pembiayaan kos penjagaan kesihatan oleh pembayar seperti syarikat insurans dan pengendali takaful, bukannya mengurangkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan penarafan 'Positif' terhadap sektor penjagaan kesihatan.

 

Bagaimanapun, menurutnya, peningkatan ketelusan dalam sistem bil hospital dijangka mengurangkan jurang perbezaan harga antara pengendali hospital bagi rawatan biasa dan rutin.

 

Namun, bagi rawatan yang lebih kompleks, proses penyeragaman dijangka kekal mencabar memandangkan tahap kesukaran dan keperluan rawatan yang berbeza antara pesakit.

 

Dalam jangka panjang, Maybank Investment berpandangan kejayaan pengendali hospital bergantung kepada keupayaan mereka menyediakan rawatan yang semakin kompleks secara cekap dan berkesan.

 

Berdasarkan prospek tersebut, firma penyelidikan itu memilih IHH Healthcare Bhd dan Sunway Healthcare Holdings Bhd sebagai pilihan utama bagi pelaburan jangka panjang.

 

Menurutnya, kedua-dua syarikat itu memiliki kelebihan menerusi kepakaran perubatan yang lebih khusus, campuran kes berintensiti tinggi serta skala operasi yang lebih besar, sekali gus meletakkan mereka pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan perubahan struktur dalam sektor penjagaan kesihatan negara. - DagangNews.com