Aemulus mampu kembali untung didorong tempahan cecah rekod baharu RM104 juta, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aemulus mampu kembali untung didorong tempahan cecah rekod baharu RM104 juta, kata RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 JulaiAemulus Holdings Berhad mampu mencatat keuntungan bersih selepas mencatatkan buku tempahan yang mencecah rekod bernilai RM104 juta, menurut analisis RHB Research.

 

Prestasi itu disokong permintaan tinggi daripada industri kecerdasan buatan (AI) dan automotif, meskipun berdepan dengan risiko turun naik kadar pertukaran asing, dan gangguan rantaian bekalan global.

 

Katanya, kumpulan itu berada pada kedudukan baik memanfaatkan kitaran pertumbuhan baharu industri semikonduktor dipacu AI kerana banyak produk memerlukan proses ujian yang dilakukan lebih rumit.

 

"Justeru kami memberikan nilai saksama (FV) 56 sen sesaham tanpa saranan ke atas dagangan Aemulus, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 22 kali bagi unjuran FY27," tambah RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut dalam notanya menyifatkan penilaian semasa saham kaunter berkenaan sebagai menarik untuk pelabur yang ingin mengambil peluang daripada proses pemulihan syarikat itu.

 

Menurutnya, buku tempahan yang melepasi RM100 juta setakat awal Jun 2026 bersamaan 1.3 kali ganda hasil FY25, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan bagi tempoh 18 bulan akan datang.

 

Aemulus_DagangNews2026

 

Jumlah itu kata RHB Research, belum termasuk kontrak baharu bernilai RM17.7 juta dan RM8.2 juta diperoleh Aemulus bulan ini daripada pelanggan, dengan jangkaan pengisian semula RM90 juta lagi.

 

"Selain itu, pertumbuhan syarikat dijangka disokong oleh pengoperasian kilang baharu di Suzhou, China menjelang September 2026 yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 28%," katanya.

 

Lebih 30% daripada tempahan baharu dijangka datang daripada aplikasi pusat data (DC) dengan margin lebih tinggi, sekali gus berpotensi menjadi penyumbang hasil terbesar kumpulan menjelang FY27.

 

RHB Research menambah, jualan platform AMB4600 keluaran Aemulus di Amerika Syarikat (AS) dijangka meningkat lebih 300% susulan permintaan kukuh terhadap cip pra-penguat memori jalur lebar tinggi.

 

Di samping ujar firma penyelidikan tersebut, kerjasama dengan Samsung Electro-Mechanics (SEMCO) turut membuka peluang kepada penggunaan kapasitor silikon dalam aplikasi semikonduktor AI.

 

"Kami berpandangan syarikat ini beralih daripada pernah terjejas akibat sekatan perdagangan AS  ke atas China kepada penerima manfaat daripada penyusunan semula rantaian bekalan global," jelasnya.

 

Pemulihan permintaan semikonduktor automotif selepas Aemulus melaksanakan fasa pelarasan inventori antara 2023 hingga 2025 turut membuka potensi besar dalam segmen ujian. - DagangNews.com