Petronas Lubricants, IVECO sambung kerjasama strategik hingga 2032 fokus inovasi pelincir generasi baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas Lubricants, IVECO sambung kerjasama strategik hingga 2032 fokus inovasi pelincir generasi baharu

Pejabat PLI di Turin, Itali
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai – PETRONAS Lubricants International (PLI) dan IVECO, antara pengeluar utama kenderaan komersial di Eropah, memperbaharui kerjasama strategik mereka untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2032 sekali gus mengukuhkan hubungan yang telah terjalin lebih 50 tahun.

 

Menerusi perjanjian tersebut, PLI akan terus menjadi rakan teknologi utama IVECO dalam membekalkan serta membangunkan bersama rangkaian produk pelincir khusus untuk kenderaan komersial keluaran syarikat itu di seluruh Eropah.

 

Kerjasama itu meliputi pembekalan dan kejuruteraan bersama bagi rangkaian minyak enjin IVECO URANIA serta cecair teknikal IVECO TUTELA yang merupakan satu-satunya produk pelincir yang disyorkan secara rasmi oleh IVECO.

 

PLI dalam satu kenyataan berkata, lanjutan kerjasama itu membolehkan kedua-dua syarikat terus menghasilkan rumusan pelincir berprestasi tinggi yang direka khusus mengikut keperluan operasi kenderaan komersial IVECO.

 

Menurutnya, rangkaian produk berkenaan merangkumi minyak enjin, cecair transmisi, cecair brek dan bahan penyejuk yang dibangunkan bagi memastikan prestasi kenderaan lebih optimum.

 

Fokus Kepada Inovasi dan Kecekapan Tenaga

“Kerjasama ini mencerminkan kejayaan berterusan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama selama beberapa dekad, selain komitmen kedua-dua pihak terhadap penyelesaian yang meningkatkan kecekapan tenaga serta jangka hayat komponen kenderaan,” katanya.

 

PLI dan IVECO sebelum ini turut memperkenalkan Urania Next 0W-16, iaitu minyak enjin SAE 0W-16 pertama yang dibangunkan khusus untuk aplikasi kenderaan berat.

 

Produk tersebut direka bagi membantu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api, mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) serta memanjangkan tempoh pertukaran minyak enjin.

 

t

 

Selain itu, formulasi berkenaan turut bersedia untuk memenuhi keperluan piawaian pelepasan Euro 7 yang menyokong penggunaan enjin generasi baharu dengan prestasi lebih cekap dan rendah pelepasan.

 

Ketua Pegawai Kualiti dan Operasi Iveco Group, Domenico Nucera berkata, pembaharuan kerjasama bersama PLI membuktikan kekuatan hubungan jangka panjang yang dibina atas kepakaran teknikal serta matlamat bersama untuk meningkatkan prestasi, kecekapan dan kemampanan.

 

Sokongan Kepada Pengedar dan Pelanggan IVECO

“Melalui pembangunan bersama rangkaian IVECO URANIA dan IVECO TUTELA, kami mampu menyediakan penyelesaian yang meningkatkan masa operasi kenderaan, mengoptimumkan jumlah kos pemilikan (TCO) serta menyokong rangkaian pengedar dan pelanggan dengan tahap kualiti serta kebolehpercayaan tertinggi,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan PLI, Domenico Ciaglia berkata, pembaharuan kerjasama tersebut menunjukkan hasil yang boleh dicapai menerusi hubungan jangka panjang berasaskan inovasi dan kecemerlangan.

 

Beliau berkata, kerjasama itu membolehkan PLI dan IVECO menggabungkan kepakaran masing-masing bagi menghasilkan produk berteknologi tinggi yang memberi nilai tambah kepada industri pengangkutan komersial.

 

“Melalui inovasi produk secara berterusan, kami berjaya membangunkan penyelesaian seperti formulasi Urania Next 0W-16 yang disepadukan sepenuhnya dalam ekosistem IVECO,” katanya.

 

t

 

Dalam pada itu, PLI turut memberi tumpuan kepada pengukuhan sokongan terhadap rangkaian pengedar IVECO di Eropah menerusi pelaksanaan inisiatif yang meningkatkan penglibatan pengedar dan kesedaran pelanggan terhadap penggunaan pelincir yang diluluskan secara rasmi.

 

PLI Perkukuh Kedudukan Global

Langkah itu dijangka membantu pengedar mengembangkan perniagaan masing-masing, selain memberi manfaat kepada pelanggan melalui peningkatan kebolehpercayaan kenderaan dan pengurangan jumlah kos pemilikan.

 

PLI yang merupakan cabang pembuatan dan pemasaran pelincir global PETRONAS, kini memasarkan pelbagai produk pelincir automotif dan industri di lebih 100 pasaran antarabangsa.

 

Syarikat itu yang beribu pejabat di Kuala Lumpur turut mempunyai operasi antarabangsa termasuk di Turin, Belo Horizonte, Beijing dan Chicago bagi menyokong pertumbuhan perniagaan globalnya.

 

PLI turut menjadi sumber teknikal utama dalam kerjasama PETRONAS bersama pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team menerusi pembangunan penyelesaian teknologi bendalir (Fluid Technology Solutions™) termasuk pelincir, bahan api dan cecair transmisi.

 

Pembaharuan kerjasama bersama IVECO itu sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan PLI sebagai penyedia rumusan pelincir global yang memberi tumpuan kepada inovasi, prestasi tinggi dan kemampanan dalam industri pengangkutan. - DagangNews.com