KUALA LUMPUR 10 Julai – Aizo Group Berhad memperoleh subkontrak bernilai RM9.09 juta bagi kerja-kerja jalan dan saliran untuk projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Cheras, Selangor.
Kumpulan tersebut berkata, tender terbaharu itu diraih oleh anak syarikat milik penuhnya, Aizo Construction Sdn Bhd, daripada Xense Design Sdn Bhd yang bertindak bagi pihak pelanggan, Esan Juta Sdn Bhd.
Menurutnya, kontrak itu melibatkan kerja infrastruktur di Lot 33925, Mukim Cheras, Daerah Hulu Langat merangkumi tiga blok pangsapuri yang mengandungi 2,796 unit serta kemudahan sokongan.
"Skop meliputi pembinaan jalan raya dan sistem saliran, iaitu komponen penting akses tapak projek serta fungsi jangka panjang pembangunan bandar berskala besar," jelas Aizo dalam satu kenyataan.
Kerja-kerja pembinaan prasarana berkenaan jelas kumpulan itu, sudah bermula pada 18 Jun 2026 dan dijadualkan dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual ditetapkan iaitu menjelang 17 Ogos 2027.
Kontrak terbaharu itu mengukuhkan lagi peranan syarikat melaksanakan infrastruktur penting projek pembangunan bandar, terutama di kawasan padat memerlukan sistem jalan dan saliran yang cekap.

Pengarah Eksekutif Aizo, Ahmad Rahizal Ahmad Rasidi berkata, tender itu menambah momentum kepada pertumbuhan syarikat serta mencerminkan keyakinan berterusan pasaran terhadap keupayaannya.
"Walaupun jalan dan saliran sering kurang mendapat perhatian berbanding komponen lain, ia adalah elemen asas memastikan projek dapat dibangunkan lancar dan berfungsi secara menyeluruh," katanya.
Beliau berkata, projek TOD Cheras merupakan pembangunan bandar berskala besar dan kumpulan itu berbangga diberi kepercayaan untuk menyumbang kepada usaha pembangunan infrastruktur sokongannya.
Kontrak tersebut juga jelas Ahmad Rahizal, selaras strategi syarikat itu mendapatkan projek yang berdaya maju dari segi komersial serta mampu menyumbang secara positif kepada pendapatan Aizo.
Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peluang pembinaan dengan potensi tinggi, khususnya projek yang sejajar dengan agenda pembangunan bandar, keterhubungan dan kelestarian Malaysia.
"Pada masa sama, kumpulan mengekalkan disiplin pelaksanaan projek, meningkatkan kecekapan kos dan memperkukuh asas projek berulang dalam segmen kejuruteraan awam dan infrastruktur," katanya. - DagangNews.com








