Pusingan ke-3 Maxis Awards dibuka untuk penerimaan cadangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusingan ke-3 Maxis Awards dibuka untuk penerimaan cadangan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Pusingan ketiga Maxis Awards kini dibuka dengan menerima pengemukaan cadangan sehingga 11 Oktober 2022 menerusi kerjasama SME and Entrepreneurs Business Awards (SEBA).

 

Ketua Pegawai Pemasaran Maxis, Loh Jeh Kiat berkata, sejak pelancaran Maxis Awards tahun lepas, mereka mendapat inspirasi daripada minda inovatif yang mempunyai keinginan yang kuat untuk memberi impak positif dan mampan kepada masyarakat. 

 

"Kami berbesar hati untuk meneruskan perjalanan ini dan sangat menggalakkan perusahaan di luar sana untuk mengemukakan cadangan mereka. Kami juga teruja untuk bekerjasama dengan SEBA untuk pusingan ini, sekali gus dapat bekerjasama dan berusaha demi mencapai aspirasi bersama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengasas SEBA dan Pengerusi Yayasan Usahawan Malaysia, Nitesh Malani pula berkata, pihaknya dan Maxis berkongsi matlamat yang sama untuk mengiktiraf pengusaha tempatan yang cemerlang dan menyokong mereka untuk lebih maju serta berjaya. 

 

"Maxis menginspirasikan kami melalui komitmen mereka dalam memupuk inovasi digital dan menyokong negara untuk terus maju dan cemerlang. 

 

"Oleh itu, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan mereka dalam pusingan anugerah ini agar dapat mencari dan menghidupkan idea teknologi yang terbaik. Kami berharap kerjasama ini mempercepatkan pertumbuhan usahawan dalam Malaysia yang baharu dan digital," katanya.

 

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Maxis Awards dan cara menghantar cadangan, kunjungi https://www.maxis.com.my/en/maxis-awards/.Untuk maklumat lanjut mengenani SEBA, layari https://seba.asia.

 

Maxis Awards bertujuan untuk memperkasa, mengiktiraf dan menyokong perusahaan sosial Malaysia yang mempunyai inisiatif dan sumbangan cemerlang dalam memacu impak positif kepada rakyat. 

 

Maxis komited untuk memupuk inisiatif tempatan yang mampan dan boleh memacukan negara daripada idea sehingga pelaksanaan dengan bimbingan dan sokong perusahaan daripada pakar teknikal Maxis serta penyelesaian seperti e-dagang, internet segala-galanya (IoT), awan, suara dan kesalinghubungan rangkaian. 

 

Selain itu, Maxis akan membantu dari segi pemasaran dan publisiti projek. Sejak pelancaran Maxis Awards, Maxis telah mengiktiraf empat perusahaan yang mengemukakan inisiatif bertemakan hijau dan penyelesaian teknologi keselamatan.

 

Cadangan bagi Maxis Awards akan dinilai panel hakim Maxis melalui proses tersendiri. 

 

Syarikat yang disenarai pendek akan membentangkan projek mereka kepada para hakim, dan pemenang harus memenuhi kriteria berdasarkan inovasi, peranan teknologi, dan dengan jelas menunjukkan nilai tambah kepada masyarakat baik dari segi ekonomi, sosial, dan/atau persekitaran. - DagangNews.com