KUALA LUMPUR 14 Mac - Proton Holdings Berhad (Proton) akan mengembangkan rangkaian modelnya pada 2023 dengan pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu tidak lama lagi.
Penampilan pertama model yang masih belum dinamakan itu diadakan secara terbuka pada upacara line-off selepas pelancaran rangkaian 'stamping' baharu syarikat dan model baharu itu merupakan SUV ketiga dalam rangkaian Proton, yang akan membantu mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama SUV paling popular di Malaysia
SUV baharu yang dipasang di Tanjung Malim bersama Proton X50 dan Proton X70 akan dilancarkan secara rasmi dalam beberapa bulan akan datang.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, SUV baharu itu juga akan menjadi model pertama yang menawarkan teknologi hibrid, menandakan kemunculan Proton dalam ruang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).
Katanya, ia adalah satu lagi langkah yang diambil oleh Proton dalam komitmennya untuk memperkenalkan lebih banyak model NEV kepada rangkaiannya sebagai permulaan terhadap EV yang pertama dikeluarkan secara tempatan.
"Sebelum ini, syarikat telah menandatangani perjanjian untuk mengedarkan EV smart di Malaysia dan Thailand, dan juga telah menghantar 16 jurutera ke China untuk menjalani latihan enam bulan yang memberi tumpuan kepada semua aspek yang membabitkan kenderaan berkenaan.
"Upacara line-off hari ini menandakan permulaan aktiviti yang membawa kepada pengenalan rasmi model terbaru Proton. Selepas permulaan pengeluaran, kami akan mengadakan pratonton media dan sesi suai kenal pelanggan sebelum melancarkan SUV baharu kami, yang juga menandakan produk NEV pertama kami.
"Ini adalah langkah penting dalam perjalanan NEV kami yang akan secara beransur memberi penekanan kepada teknologi hibrid sebelum kami melancarkan Proton EV yang pertama," katanya dalam satu kenyataan selepas majlis pelancaran rangkaian 'stamping' D-Line baharu dan upacara 'line-off' SUV baharu Proton di Tanjung Malim, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut disertai Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar.
Dalam pada itu, pengeluar kereta nasional itu melancarkan penambahan mesin baharu kepada kilangnya di Tanjung Malim di mana mesin itu mampu menghasilkan 50 komponen unik menggunakan kuasa sehingga 2,500 tan.

Rangkaian stamping baharu bernilai RM140 juta adalah yang terbesar di Malaysia dan berpotensi mengurangkan pengimportan komponen tahunan syarikat sebanyak 115,000 unit.
Kerja-kerja pembinaan rangkaian stamping baharu Proton bermula pada awal bulan April 2021 dengan pemasangan jentera bermula pada bulan Julai 2022 dan siap sepenuhnya menjelang Disember.
Terdapat lima mesin stamping dengan satu mesin mampu menggunakan daya 2,500 tan dan dua mesin setiap satu dengan daya tekanan masing-masing 1,200 tan dan 1,000 tan.
Rangkaian stamping baharu ini menggunakan enam robot untuk memindahkan bahagian antara stesen kerja dan menggunakan teknologi IR 4.0 menerusi data masa nyata dan proses pembelajaran mesin untuk meningkatkan kualiti bahagian yang dihasilkan. - DagangNews.com








