Prospek lemah harga sarung tangan getah, TA Research unjur keuntungan Kossan merosot pada FY22 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek lemah harga sarung tangan getah, TA Research unjur keuntungan Kossan merosot pada FY22

KUALA LUMPUR 13 Okt - TA Securities Research menyemak turun harga sasaran Kossan Rubber Industries Bhd. kepada RM1.20 daripada RM1.24 sesaham sebelum ini berikutan harga jualan purata (ASP) yang lemah. 

 

Sebaliknya, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Kossan setelah mengambil kedudukan kunci kira-kiranya yang berdaya tahan.

 

Penganalisisnya, Tan Kong Jin menjangkakan industri sarung tangan getah akan kekal mencabar pada separuh kedua ini, dan mungkin berterusan sehingga akhir 2023. 

 

Katanya, situasi itu disebabkan masalah lebihan bekalan, pelarasan inventori oleh pelanggan dan persaingan sengit daripada pengeluar China.

 

"Berdasarkan semakan kami, didapati ASP sarung tangan getah Malaysia berlegar antara AS$19 hingga AS$20 per 1,000 keping ketika ini, lebih tinggi berbanding ASP pengeluar China kira-kira AS$14 hingga AS$15.

 

"Ini akan menyaksikan ASP sarung tangan getah Malaysia kekal lemah dalam tempoh terdekat memandangkan China dijangka memperoleh lebih banyak penguasaan pasaran," katanya dalam nota kajian.

 

Ekoran situasi semasa lebihan bekalan, Kossan telah menangguhkan pelan pengembangan kapasiti dalam tempoh terdekat dengan kapasiti semasa kumpulan ialah sebanyak 33.5 bilion keping sarung tangan getah setahun.

 

Sebelum ini, Fasa 1 Loji 21 Kossan (2 bilion keping atau enam baris) dan Fasa 2 (3 bilion atau 10 baris) dijangka siap menjelang akhir 2023.

 

 

Kossan

 

Mengambil kira persekitaran yang lemah itu, beliau mengunjurkan kadar penggunaan Kossan pada separuh kedua 2022 akan berlegar antara 40% hingga 50% berbanding 60% pada suku kedua 2022 disebabkan permintaan yang lemah dan persaingan harga daripada pengeluar China.

 

Menurutnya, keuntungan Kossan dijangka susut antara RM50 hingga RM60 juta pada separuh kedua berbanding RM136.1 juta yang direkodkan pada separuh pertama 2022.

 

"Secara keseluruhan, kami menjangkakan kumpulan akan merekodkan keuntungan sebanyak RM191.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), merosot berbanding RM2.9 bilion pada FY21.

 

"Pada 2023, ia dijangka terus menurun sebanyak 35.7% kepada RM123.3 juta, terutamanya disebabkan situasi lebihan bekalan dan asas yang kukuh pada separuh pertama 2022," jelasnya.

 

Bagaimanapun, Kong Jin mendapati Kossan memiliki kedudukan kewangan yang kukuh berdasarkan kepada kunci kira-kiranya. 

 

Setakat suku kedua FY22, kedudukan tunai dan baki bank adalah berjumlah RM2.2 bilion, bersamaan 79.2% daripada pasaran modalnya manakala tunai sesaham pada 87 sen sesaham.

 

"Bagi dividen, kami percaya kumpulan akan terus membayar dividen kira-kira 40%, mewakili hasil dividen sebanyak 2.7% untuk FY22," katanya.

 

Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, Kossan mencatatkan keuntungan bersih yang rendah sebanyak RM45.99 juta berbanding RM1.06 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ini seiring dengan pendapatan yang rendah sebanyak RM589.86 juta berbanding RM2.24 bilion setahun lepas susulan penurunan hasil daripada sarung tangan, produk getah teknikal dan bahagian bilik bersih.

 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersihnya susut kepada RM136.1 juta daripada RM2.11 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan juga merosot kepada RM1.28 bilion daripada RM4.43 bilion. - DagangNews.com