KUALA LUMPUR 23 Mei - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Swift Haulage Bhd. dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.18 berbanding RM1.28 sebelum ini.
Penilaian itu dibuat dengan menambat pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 (FY22) yang disemak semula kepada sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) yang tidak berubah sebanyak 18x.
Firma itu melihat prospek Swift Haulage dalam jangka masa terdekat adalah kukuh disokong pengembangan kapasiti gudang (sama ada yang dimilikinya mahupun dikendalikan pihak ketiga).
"Ini seterusnya akan memberikan peluang jualan silang dengan penambahan penggerak utama baharu kepada kumpulan kenderaan sedia ada.
"Oleh itu, kami menyemak semula unjuran hasil dengan menjangkakan kumpulan merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi FY22 sebanyak RM58.6 juta, diikuti FY23 (RM61.5 juta) dan FY24 (RM64.4 juta)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan Jumaat lalu, Swift Haulage merekodkan untung bersih sebanyak RM14.31 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, meningkat 33.9% daripada RM10.68 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat 4.7% kepada RM160.3 juta daripada RM153.12 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu terutamanya disokong menerusi kontena haulage yang merekodkan pendapatan sebanyak RM71.1 juta diikuti pengangkutan darat (RM52.4 juta), yang menyumbang 77.1% daripada jumlah hasil kumpulan.
Segmen perniagaan lain seperti pergudangan dan depoh kontena, serta penghantaran barang yang menyumbang kepada baki hasil kumpulan, masing-masing menyumbang sebanyak RM19.6 juta dan RM17 juta.
Menurut MIDF Research, dengan merekodkan PATAMI teras sebanyak RM12.9 juta pada suku pertama, prestasi kewangan bagi tempoh itu adalah memenuhi jangkaannya merangkumi 21% daripada jangkannya dan konsensus untuk unjuran tahun penuh.
Bagaimanapun, firma itu berkata, risiko kepada penarafan kumpulan antaranya, termasuklah penangguhan atau kelewatan operasi gudang baharu dan penangguhan penyambungan semula pengeluaran sepenuhnya di Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC).
Pada masa sama, tambahnya, sebarang gangguan utama yang boleh menjejaskan pemulihan rantaian bekalan global juga akan memberi risiko kepada penarafan.
Setakat 10.04 pagi ini, harga saham Swift Haulage menokok 0.5 sen atau 0.73% kepada 69 sen dengan 53,700 saham diniagakan. - DagangNews.com








