Prospek ekonomi Malaysia lebih perlahan pada suku pertama sekitar 3.9% dipengaruhi faktor luaran, kata Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek ekonomi Malaysia lebih perlahan pada suku pertama sekitar 3.9% dipengaruhi faktor luaran, kata Kenanga Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Jan - Ekonomi Malaysia diunjur memulakan tahun ini dengan kadar yang lebih perlahan sekitar 3.9% pada suku pertama 2023, berbanding jangkaan pertumbuhan 6.6% suku keempat 2022 di tengah-tengah risiko kelembapan ekonomi global, demikian menurut Kenanga Research. 

 

Faktor negatif itu akan mengheret turun prestasi eksport negara dan harga komoditi yang turut diburukkan lagi dengan kemungkinan kenaikan inflasi, yang boleh mencetuskan pengetatan kewangan berikutan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

 

Namun begitu, kelemahan pertumbuhan adalah terhad memandangkan risiko politik yang lebih rendah selepas pembentukan kerajaan perpaduan, dan perbelanjaan swasta yang berdaya tahan disokong oleh pelbagai sokongan dasar, antaranya, penerusan subsidi dan program pemindahan tunai untuk kumpulan B40 serta impak positif kelonggaran dasar sifar COVID-19 di China.

 

Di samping itu, peningkatan beransur-ansur ketibaan pelancong akan terus menyokong pemulihan dalam subsektor pelancongan dan seterusnya menambah baik keadaan pasaran buruh, terutama dalam sektor perkhidmatan.

 

"Mengambil kira faktor-faktor ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 sebanyak 4.3% dalam keadaan normalisasi dalam ekonomi domestik memandangkan  negara beransur-ansur beralih ke fasa pasca pandemik.

 

"Kami juga melihat, sokongan fiskal dan prospek pembukaan semula ekonomi China boleh mengehadkan kemerosotan kepada pertumbuhan," katanya dalam laporan prospek ekonomi Malaysia hari ini.

 

 

MOF

 

 

Kenanga Research berkata, kerajaan yang baru dilantik dijangka menggunakan dasar fiskal mengembang yang sederhana, dengan penerusan pelbagai subsidi dan penyambungan semula projek pembangunan untuk mengemudi negara mengharungi kelembapan pertumbuhan global.

 

Menurutnya, sehingga pilihan raya negeri selesai dan dalam kedudukan baik pada 2023, sebarang peralihan dasar ke arah pengetatan atau penyatuan fiskal tidak mungkin berlaku.

 

"Kerajaan juga dijangka meneruskan Bajet 2023 yang sedikit mengembang, dengan hanya semakan kecil yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini.

 

"Memandangkan perbelanjaan mengurus akan terus meningkat, Petronas akan diminta sekali lagi untuk menyumbang dividen khas sekurang-kurangnya berjumlah RM30 bilion," jelasnya.

 

Namun, firma itu percaya kerajaan akhirnya akan memulakan reformasi fiskal dalam jangka sederhana, terutamanya dalam bidang percukaian, untuk mengukuhkan kedudukan fiskalnya. 

 

"Di sebalik peningkatan dalam pengurusan fiskal, serta hasil minyak dan gas yang meningkat, kami mengunjurkan defisit fiskal mengecil kepada 5% daripada KDNK untuk 2023 (berbanding unjuran 2022 pada 5.7%)," katanya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Sementara itu, langkah-langkah kerajaan mengurangkan kos sara hidup beserta ringgit yang lebih kukuh, kelembapan permintaan global dan peningkatkan rangkaian bekalan global akan menyaksikan inflasi utama dan teras masing-masing menurun kepada sekitar 2.5% dan 2.3% pada tahun ini.

 

Unjuran itu telah mengambil kira kerajaan mungkin memperkenalkan beberapa sistem harga bahan api seawal suku ketiga 2023 untuk mengurangkan ketirisan subsidi.

 

"Di bawah andaian kami mengenai mekanisme penetapan harga bahan api secara berperingkat, harga purata RON95 mungkin sekitar RM2.75 seliter," tambahnya.

 

Selain memberi tumpuan kepada kos elektrik dan pengangkutan, Kenanga Research berpendapat kerajaan harus menjadikan keselamatan makanan sebagai keutamaan tertinggi mereka dan menangani peningkatan kos makanan dengan meningkatkan nisbah sara diri makanan Malaysia.

 

"Berdasarkan laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2021, isi rumah B40 membelanjakan secara relatifnya untuk makanan (35% daripada perbelanjaan penggunaan bulanan) berbanding isi rumah M40 (30%) dan T20 (23%)," jelasnya.

 

Mengenai kenaikan OPR pula, firma itu menjangkakan BNM akan menamatkan kitaran pengetatan pada suku pertama 2023 berikutan prospek ekonomi global yang suram dan mengekalkan kadar pada 3 3.25% untuk sepanjang tahun ini bagi membendung tekanan harga.

 

Sepanjang 2022, bank pusat telah menaikkan kadar faedah sebanyak empat kali berturut-turut bermula Mei, Julai, September dan Disember dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas menjadikannya kepada 2.75% berbanding paras rekod terendah 1.75% sebelumnya.

 

"Untuk mengekang rekod inflasi teras yang tinggi mencecah 4.2% tahun ke tahun pada November (Oktober: 4.1%) dan untuk menyelaraskan semula dasar monetari global, BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas untuk kali kelima berturut-turut pada Januari ini," katanya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Kenanga Research turut mengunjurkan ringgit akan lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada RM4.48 pada suku pertama ini disebabkan peningkatan perbezaan dasar monetari BNM-Rizab Persekutuan AS (Fed).

 

Bagaimanapun, katanya, menjelang separuh kedua, ringgit dijangka melantun dan mengukuh kepada sekitar RM4.11 menjelang akhir 2023, terutamanya disebabkan jangkaan kecenderungan Fed yang lebih longgar dengan harga komoditi kembali pulih.

 

"Namun, perang Rusia-Ukraine, pusingan 'U' dalam dasar COVID-19 di China, Fed yang berpendirian tegas (tiada pemotongan kadar pada 2023), dan ketegangan China-Taiwan yang semakin teruk mungkin mengubah naratif kenaikan ringgit," jelasnya.

 

Firma itu berkata, risiko penurunan luaran terhadap pertumbuhan Malaysia masih kekal terutama kebimbangan berterusan tentang kemelesetan di AS di tengah-tengah pendirian Fed yang tegas serta ketegangan geopolitik yang berterusan dan krisis tenaga yang semakin teruk di Eropah.

 

Selain itu, peningkatan kes COVID-19 di China juga boleh mencetuskan kebimbangan mengenai kemunculan varian atau subvarian baharu wabak ini. - DagangNews.com