Projek tenusu Jemaluang perkembangan positif namun tidak dijangka sumbang pendapatan bagi FY25, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek tenusu Jemaluang perkembangan positif namun tidak dijangka sumbang pendapatan bagi FY25, kata PublicInvest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 April - Penglibatan Rhone Ma Holdings Bhd dalam syarikat usaha sama Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd (JDV) untuk projek tenusu tidak dijangka membawa sumbangan bermakna kepada kumpulan bagi tahun kewangan 2025 (FY25), kata Public Invest Research (PublicInvest).

 

Firma penyelidikan itu melihat usaha sama itu secara positif memandangkan Rhone Ma boleh mengembangkan perniagaan penternakan tenusu di wilayah selatan Semenanjung Malaysia, sambil memanfaatkan sumber kewangan Kulim.

 

Rhone Ma melalui anak syarikatnya, A2 Fresh Holdings Sdn Bhd (A2 Fresh) akan mengendali ladang tenusu Jemaluang di Mersing, Johor yang dijangka siap pada Julai 2024, dengan menyediakan kepakaran dan bimbingan teknologi.

 

Menurut firma itu, projek JDV dijangka meningkatkan pengeluaran negara sebanyak 10%, menghasilkan 5.1 juta liter susu segar setiap tahun tetapi tidak dilihat membawa sumbangan bermakna kepada pendapatan kumpulan sehingga tahun kewangan 2026 dan 2027 (FY26/27).

 

“Berdasarkan anggaran awal kami, usaha sama ini tidak mungkin meningkatkan pendapatan dalam tahun kewangan 2025 (FY25) dan mungkin merugikan semasa tempoh tunggu hasil ini.

 

Namun begitu, apabila ia mencapai keadaan mantapnya, kami menganggarkan bahawa ia boleh membawa kepada sekitar 5% peningkatan pendapatan pada FY26/27,” katanya.

 

Mengulas lanjut mengenai usaha sama itu, PublicInvest berkata kumpulan itu mampu membangunkan kemudahan bersepadu sepenuhnya, termasuk pembangunan dan pengendalian makanan ternakan, dengan kedua-dua operasi huluan dan hiliran dalam perniagaan penternakan lembu tenusu.

 

“Ini bukan sahaja akan mengurangkan jejak karbon tetapi juga mengurangkan kos rantaian nilai bagi setiap liter susu segar apabila kumpulan mampu membekalkan lembunya dengan makanan mil tempatan,” jelasnya dalam nota hari ini.

 

Selain menyediakan kepakaran dan bimbingan teknologi, A2 Fresh juga akan bangunkan dan urus latihan dan aktiviti lain yang berkaitan untuk program petani satelit dan mengambil bahagian dalam program pembangunan komuniti dalam keseluruhan rantaian nilai projek.

 

Firma itu mengekalkan panggilan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 88sen.

 

Setakat pukul 4:00 petang 7 April, saham Rhone Ma menokok 1.5sen atau 2.1% kepada 72sen, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM159.29 juta. -DagangNews.com