Projek pengukuhan bekalan elektrik Pulau Pinang merupakan pelaburan berterusan TNB selaras keperluan peralihan tenaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pengukuhan bekalan elektrik Pulau Pinang merupakan pelaburan berterusan TNB selaras keperluan peralihan tenaga

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Projek pengukuhan bekalan elektrik Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas 275kV  yang sedang dilaksanakan merupakan sebahagian daripada pelaburan berterusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membangunkan Grid Nasional sejajar keperluan peralihan tenaga negara. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerja-kerja asas sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Ogos 2024.

 

Beliau berkata, apabila projek berkenaan siap sepenuhya, ia mampu menyalurkan 2,000MW sekali gus menjamin kestabilan bekalan di Pulau Pinang untuk jangka panjang. 

 

Projek menepati keperluan kerajaan negeri dan rakyat Pulau Pinang yang memerlukan bekalan  tenaga yang kukuh bagi melaksanakan pembangunan fizikal termasuk rangkaian  perhubungan jalan raya, pengangkutan awam, meningkatkan kapasiti pelabuhan dan lapangan terbang selain kegiatan tebus guna tanah untuk tujuan pembangunan penempatan  dan komersial.

 

Ketika ini, pulau berkenaan menerima bekalan melalui SJ Gelugor dan dua kabel dasar laut  serta satu kabel bawah jambatan yang berusia 21 hingga 38 tahun menjadikan kos penyelenggaraannya tinggi selain pernah mengalami kerosakan. 

 

“Penghantaran terus talian atas ini membolehkan pengguna dan pelabur di Pulau Pinang  menikmati sistem bekalan lebih kukuh, cekap dan stabil termasuk dari segi kepantasan  mengesan sebarang kerosakan atau gangguan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

TNB
Datuk Ir. Baharin Din

 

Projek yang dilancarkan pada 15 September lalu itu bernilai lebih RM500 juta, merangkumi pembinaan talian atas sejauh 8.5 kilometer dengan menara ikonik yang selari dengan jambatan pertama Pulau Pinang, Pencawang Masuk Utama (PMU) di Perai untuk dihubungkan kepada PMU The Light, yang  akan dibina berhampiran Kem Tentera Batu Uban, seterusnya kabel 132kV baru bawah tanah sepanjang 3.3km ke PMU Gelugor. 

 

Baharin berkata, TNB membuat pelaburan berterusan dalam pembangunan grid yang menjadi pemboleh utama peralihan tenaga dengan menghubungkan seluruh rantaian perkhidmatan TNB daripada penjanaan kepada penghantaran dan pembahagian sehingga ke premis pelanggan. 

 

“Kami akan terus memastikan rangkaian pembahagian TNB kekal berdaya harap, mudah pulih daripada gangguan dan diautomasikan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan masa hadapan, selaras dengan evolusi peralihan tenaga,” katanya. 

 

tnb

 

Mengulas mengenai pelaksanaan projek, Baharin berkata, fasa seterusnya adalah kerja penanaman cerucuk di laut, pemasangan menara dan disusuli dengan kerja-kerja merentang pengalir yang dijangka akan dimulakan tidak lama lagi.

 

Projek berkenaan mendapat kelulusan Kajian Impak Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment - EIA) dan pelaksanaannya tidak menjejaskan dasar laut kerana pihaknya dan kontraktor yang dilantik akan mematuhi syarat-syarat Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi memelihara keadaan alam sekeliling. 

 

tnb

 

Semua kerja-kerja tersebut mendapat permit dan diawasi oleh agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan sebagainya. Prosedur dan kaedah pembinaan akan tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan di dalam permit. 

 

Projek itu dilaksanakan oleh gabungan tiga syarikat berpengalaman dalam pembinaan talian atas dan kerja-kerja pembinaan di laut iaitu Multi Discovery Sdn. Bhd. – KACC Construction Sdn Bhd – CHEC Construction (M) Sdn Bhd JV secara tender terbuka. - DagangNews.com