Projek LRT3 dijangka pacu hasil MRCB bagi FY22 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek LRT3 dijangka pacu hasil MRCB bagi FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Mei - Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dijangka mempamerkan hasil yang lebih kukuh pada masa hadapan dipacu projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Firma itu berkata, projek LRT3 dijangka mencapai kadar siap mencecah 80% menjelang akhir tahun ini, berbanding ketika ini pada 70%.

 

Jelasnya, baki 50% daripada usaha sama LRT 3 telah diambil alih oleh MRCB pada suku keempat 2021, justeru, akan meningkatkan lagi keuntungan syarikat dengan ketara pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

"Projek ini juga telah berkembang ke peringkat sistem, dan ini menunjukkan penggunaan keluli dan simen sepatutnya sudah pun menurun dengan ketara,” katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Selain itu, HLIB juga melihat MRCB sebagai calon paling layak untuk memperoleh tender bagi kerja-kerja awam untuk projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) berikutan kedudukannya sebagai syarikat pembinaan bumiputera terbesar yang tersenarai. 

 
Firma itu turut menaikkan harga sasaran MRCB kepada 43 sen daripada 38 sen sebelum ini, kerana ia melihat syarikat itu diheret turun oleh projek MRT3 dengan mengambil kira harga sahamnya yang lebih lemah berbanding pemain industri lain. 

 

Dalam pada itu, mengenai impak kenaikan harga bahan mentah kepada projek luaran MRCB, HLIB berkata, kumpulan telah menyatakan bahawa 45% daripada projek pembinaannya yang aktif berada dalam fasa seterusnya (dengan 70% hingga 91% siap).

 

"Oleh itu, kekurangan peluang pekerjaan MRCB selama 2 tahun lalu secara paradoks adalah positif," jelasnya.

 

Dengan mengambil kira kenaikan gearan bersih kepada paras lebih terurus dengan 0.5 kali, ia menyifatkan, MRCB boleh menambah RM1 bilion bagi pelaksanaan projek.

 

"Kami masih mempertimbangkan MRCB sebagai pesaing kuat untuk pakej kerja bahagian tinggi kerana ia dikhaskan untuk penyertaan domestik sahaja dengan peruntukan minimum 60% bumiputera,” tambahnya mengenai prospek kumpulan untuk MRT3.

 

Setakat 12.28 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 2.9% kepada 35.5 sen dengan 1.77 juta saham diniagakan. - DagangNews.com