KUALA LUMPUR 9 Mac - Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura boleh mengambil kira model pelaburan swasta yang digunakan negara lain seperti Eropah dan Thailand untuk melaksanakan projek mega tersebut.
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, cadangan itu dibuat melihat kepada keperluan sektor swasta membiayai sepenuhnya projek HSR.
"Penemuan kami menunjukkan projek kereta api berkelajuan tinggi yang mempunyai ciri-ciri sama seperti HSR seperti perkhidmatan Eurostar (anggaran kos lebih AS$10 bilion) serta kereta api berkelajuan tinggi Bangkok-Chiang Mai (anggaran kos AS$12.9 bilion) dibiayai menerusi gabungan inisiatif pembiayaan kerajaan dan swasta,” katanya dalam satu nota kajian.

Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek tersebut pada 13 Disember 2016 tetapi menamatkan projek itu selepas mengalami beberapa kelewatan.
Projek membabitkan jarak sepanjang 350 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa kerajaan terbuka kepada cadangan pelaksanaan semula HSR Kuala Lumpur-Singapura yang dan selagi ia tidak membabitkan dana kerajaan sekali gus mengalu-alukan penglibatan pihak swasta.
Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan diputuskan kerajaan mengenai pembangunan HSR KL-Singapura selepas perjanjian projek berkenaan dengan Singapura disahkan berakhir pada 31 Disember 2021, sekali gus menyaksikan projek berkenaan terbatal secara sendirinya.
Adam berkata, Gamuda Bhd dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) menerusi usaha sama (JV) 50:50 adalah penerima manfaat projek tersebut sebelum ini.
Tambahnya, kedua pihak memperoleh kontrak pentauliahan syarikat JV sebagai rakan pelaksana projek bagi seksyen utara HSR pada 2018 sebelum ia dibatalkan.
"Kontrak itu juga memerlukan syarikat JV berkenaan menghantar bon komitmen berjumlah RM5 juta dan jaminan korporat yang diterbitkan oleh MRCB dan Gamuda kepada MyHSR Corp dalam tempoh 14 hari daripada penganugerahan kontrak," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menambah, risiko politik turut menjadi pertimbangan seandainya pelaksanaan projek berkenaan berlanjutan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Risiko itu dilihat dalam bentuk jika pentadbiran baharu memutuskan untuk tidak meneruskannya," katanya. - DagangNews.com








