Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof dilantik sebagai Naib Canselor USAS baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof dilantik sebagai Naib Canselor USAS baharu

Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali (kiri) menyampaikan watikah pelantikan Naib Canselor USAS kepada Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof pada 7 April 2023.
Oleh ZAKI SALLEH 

KUALA KANGSAR 7 Mac - Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof, 58, dilantik sebagai Naib Canselor USAS yang baharu bagi tempoh dua tahun.

 

Wan Sabri menggantikan Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai Naib Canselor pada Selasa lalu.

 

Pelantikan tersebut telah diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Canselor USAD.

 

Watikah pelantikan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah USAS, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali pada majlis ringkas di universiti tersebut hari ini.

 

Wan Sabri memiliki Ijazah Doktor Falsafah dari Temple University, Amerika Syarikat dalam bidang perbandingan agama.

 

Beliau juga merupakan ahli akademik dan tokoh yang disegani dalam bidang perbankan Islam, malah merupakan penasihat syariah beberapa bank dalam negara.

 

Dalam ucapannya, Wan Sabri memberitahu bahawa Nordin telah meletakkan penanda aras yang tinggi untuk diikuti.

 

 

usas
                                                                       Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof 

 

 

Bagaimanapun, beliau komited untuk memberikan yang terbaik demi memastikan USAS terus berjaya sebagai institusi pengajian tinggi yang cemerlang.

 

"Keutamaan saya adalah untuk meneruskan usaha menjadikan USAS sebagai sebuah universiti cemerlang dan dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa.

 

“Selain itu mewujudkan tabung wakaf USAS (endowment) demi memastikan kelangsungan kewangan universiti ini,” katanya.

 

Turut disenaraikan ialah usaha menambah bilangan tenaga pengajar bertaraf profesor dan penarafan bersepadu institusi pengajian tinggi Malaysia (SETARA) demi meningkatkan kredibiliti serta kualiti pendidikan USAS. - DagangNews.com