KUALA LUMPUR 1 Nov - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dengan kerjasama UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) hari ini mengeluarkan koleksi setem khas Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pertama Malaysia dalam menggariskan peranan penting kitar semula bagi mencapai ekonomi kitaran.
Bertemakan 'Kitar Semula-Ekonomi Kitaran', setem khas itu diperakui oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG PBB) dan mengambil peranan pengawasan dalam peralihan Malaysia ke arah masa depan rendah karbon.
Setem tersebut boleh didapati di pejabat pos terpilih Pos Malaysia dan Biro Filateli mulai 2 November 2022, dengan set koleksi folder dijual pada harga RM38.00. Secara individu, setem dan sampul hari pertama masing-masing akan dijual pada harga RM1.50 dan RM0.50 setiap satu.
Koleksi setem bertumpukan kepada konsep kitar semula, yang merupakan peranan utama dalam menghapuskan sisa daripada kitaran hayat produk.
Tindakan kitar semula mengurangkan keperluan untuk menuai atau menghasilkan sumber baharu, dan mengakibatkan penggunaan tenaga yang kurang, pelepasan gas berbahaya yang lebih rendah, serta kurang atau tiada sisa yang dihasilkan.
Pengarah Eksekutif UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei, Faroze Nadar berkata, kitar semula memainkan peranan penting dalam membantu negara mencapai ekonomi kitaran, yang secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada SDG PBB dalam merealisasikan Agenda 2030.
"Selaras dengan Agenda 2030, ia bertujuan untuk menangani lima dimensi kritikal yang digelar 5P iaitu Manusia (People), Kemakmuran (Prosperity), Planet (Planet), Perkongsian (Partnership) dan Keamanan (Peace).
"Walaupun kitar semula terdiri daripada elemen ke-12 Matlamat Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab tetapi ia mempunyai kesan ke atas hampir kesemua 17 elemen SDG," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer pula berkata, ia adalah projek yang mengagumkan untuk mereka sertai dan gembira dapat bekerjasama dengan UNGCMYB.
Beliau berkata, pihaknya juga berhasrat untuk memberi inspirasi daripada tindakan yang bermakna dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai usaha kitar semula bagi mempercepatkan impak positif ekonomi kitaran.
"Pos Malaysia sebagai sebuah organisasi yang telah membina kepercayaan selama lebih 200 tahun, menghubungkan kehidupan dan perniagaan untuk masa hadapan yang lebih cemerlang, serta jangkauan dan jejak kami yang meluas di Malaysia, adalah penting bagi kami untuk terus memperbaharui pengawasan kami dengan memperjuangkan kemampanan bagi 200 tahun lagi," katanya.
Sebagai tanda sokongan kepada usaha ini dan juga pengurusan hutan dunia yang bertanggungjawab, setem, risalah dan folder Pos Malaysia diperbuat daripada bahan yang diperakui oleh Forest Stewardship Council® (FSC®) yang telah diperoleh secara bertanggungjawab.
Pembekal perkhidmatan pos negara juga mempunyai rancangan untuk beralih secara beransur-ansur kepada bahan yang diperakui FSC untuk produk pos lain dalam masa yang terdekat. - DagangNews.com








