KUALA LUMPUR 7 Feb - Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyumbang 1,000 unit komputer terpakai kepada 63 sekolah di Selangor dan Kelantan menerusi agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.
Agenda tersebut berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Kelantan.
Syarikat itu berkata, sumbangan tersebut bakal memanfaatkan lebih 50,000 pelajar di kedua-dua negeri tersebut.
“Sumbangan tersebut sejajar dengan dengan komitmen kelestarian PNB #7 iaitu mengimbangi keuntungan dan pelaburan sosial, terutamanya komitmen syarikat untuk menaja pendidikan, peningkatan komuniti, literasi kewangan dan insiatif perkongsian pengetahuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, penyerahan komputer dilakukan kepada 30 sekolah terpilih di Selangor iaitu 23 sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah.
Di Kelantan pula, sumbangan diserahkan kepada 33 sekolah terpilih iaitu enam sekolah rendah dan 27 sekolah menengah.
PNB menzahirkan harapan agar sumbangan tersebut akan memberi akses kepada pelajar untuk pendidikan yang berkualiti, meningkatkan keberkesanan pembelajaran mereka serta menyemai budaya celik digital.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Kelantan, Mohd. Hassany Hashim menghargai sumbangan 400 unit komputer kepada 33 sekolah di negeri tersebut.
“Semua komputer yang disumbangkan telah pun diterima dan berfungsi dengan baik selepas diuji.
"Sumbangan komputer tersebut pastinya dapat menampung keperluan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah serta membantu dan memudahkan murid-murid melaksanakan kerja kursus terutama bagi mata pelajaran di bawah bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
"Ia juga memudahkan pelajar melaksanakan aktiviti projek berkaitan inovasi dan robotik sekolah,” katanya. – DagangNews.com.








