KUALA LUMPUR 1 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan hoki lelaki kebangsaan yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia.
Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata, skuad hoki lelaki kebangsaan menjadi harapan negara untuk memenangi perlawanan akhir Super 4 Piala Asia 2022 malam ini.
"Kita berjaya ke perlawanan akhir setelah menewaskan Jepun 5-0 malam tadi.
"Malam ini kita bertemu Korea Selatan, pastinya pasukan kita mampu menunjukkan semangat jitu berdepan pencabar kita.
"Ayuh Keluarga Malaysia, sama-sama kita doakan kejayaan skuad hoki kebangsaan kita untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 40 tahun yang kita nantikan selama ini," katanya.
Perdana Menteri turut berharap skuad ‘Speedy Tigers’ dapat membuktikan Malaysia mampu menggegar Asia.
Semalam, Malaysia membelasah Jepun 5-0 pada kejohanan Hoki Piala Asia di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, sekali gus mengesahkan slot ke final. - DagangNews.com








