PM jumpa Zuraida minggu depan berhubung kedudukan menteri Kabinet | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM jumpa Zuraida minggu depan berhubung kedudukan menteri Kabinet

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 16 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan bertemu Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berhubung kedudukan Ahli Parlimen Ampang itu sebagai menteri Kabinet, yang dijangka dimuktamadkan minggu depan. 

 

Ismail Sabri berkata, beliau akan berjumpa dengan Zuraida terlebih dahulu sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.

 

“Saya akan jumpa dia (Zuraida) minggu depan, ketika mesyuarat Kabinet minggu depan. Saya jumpa dia dulu, selepas itu baru saya jumpa (Jemaah Menteri).

 

“Semalam, dia datang mesyuarat Kabinet macam biasa, setakat ini kedudukan dia macam saya cakap sebelum ini selagi dia tidak digugurkan daripada jawatannya, dia masih kekal Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan projek MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, di sini hari ini.

 

Pada 26 Mei 2022, Zuraida mengumumkan keluar dari Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

 

Pada 1 Jun 2022, Ismail Sabri berkata, Zuraida hanya keluar Bersatu, bukan berundur sebagai menteri susulan tuntutan parti itu yang mahukan jawatannya diisi calon baharu daripada Bersatu.

 

Mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) yang dikatakan akan diadakan selepas Bajet 2023, Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak wajar diperdebatkan secara umum kerana ia akan menimbulkan ketidakstabilan politik.

 

 

zuraida
Datuk Zuraida Kamaruddin

 

 

“Tiada satu pun PM sebelum ini bincangkan tarikh PRU di khalayak ramai. Dahulu Tun M (Dr Mahathir Mohamad) pun, ketika dia masih dalam kerajaan BN (Barisan Nasional), dia akan jawab, saya masih belum dapat ilham.

 

“Semua tak bincang PRU di khalayak ramai kerana ini akan timbulkan ketidakstabilan, yang pasti semakin hari tarikh PRU semakin hampir,” katanya. - DagangNews.com